My Buddies

Wednesday, April 12, 2017

BERCUTI KE HONG KONG

Kita punya takrifan yang berbeza tentang bahagia. Salah satu bahagia buat saya adalah berdiri di bumi yang asing sambil tersenyum melihat karenah manusia. Bumi Hong Kong, bumi bertuah dengan hutan konkrit pencakar langit. Saya di kalangan jutaan manusia yang bertuah untuk dapat memijak kota metropolitan yang tidak pernah tidur ini. Percutian singkat saya ke Hong Kong adalah tanpa dirancang. Tanpa mengkaji terlebih dahulu negara kecil dengan empat pulau ini, saya terus menempah tiket kapal terbang. Tiada perancangan, tiada tempahan atas talian, tiada teman, hanya diri saya sendiri dan sebuah bagasi ungu yang terkopek sedikit di bahagian atas, saya memulakan perjalanan ke bumi bertuah ini. Petang rabu, dengan cuaca yang panas terik di Kota Kinabalu, saya menaiki pesawat Air Asia untuk penerbangan terus ke Hong Kong.
Setiba di Hong Kong, saya disambut dengan pemandangan malam yang disimbah cahaya lampu neon di merata tempat. Sangat cantik! Keletihan di pesawat selama 3 jam bagai tidak terasa. Dengan perasaan yang sangat teruja, saya terus bergegas masuk ke dalam lapangan antarabangsa Hong Kong. Kedinginan bayu musim bunga menyapa lembut tubuh saya sehingga badan terasa menggigil. Nah, di sini baharu mula terasa kesilapannya kerana tidak memeriksa terlebih dahulu keadaan cuaca di Hong Kong. Selama ini saya anggap bahawa Hong Kong adalah negara Khatulistiwa seperti Sabah. Rupanya negara ini mengalami empat musim!(sub-tropika) Saya melihat ke kiri dan kanan semuanya berbaju tebal, berlapis dan berkasut. Nampaknya saya seorang sahaja yang bersandal tapak seinci dengan gaun hitam paras lutut dipadankan dengan legging hitam nipis melekat! Sungguh kedinginan di peralihan musim sejuk ke musim Bunga ini bagai menusuk ke tulang hitam. Apakan daya ku seorang wanita yang kurang berpengetahuan..cia..cia..cia
Sejujurnya saya tidak tahu ke mana hala tuju selepas turun dari pesawat. Jadi saya memutuskan untuk hanya mengikut sahaja orang yang ada di hadapan. Agak jauh berjalan kaki di kawasan lapangan terbang yang sunyi sepi ini. Turun ke tangga bergerak, saya juga mengikut. Belok ke kiri, saya juga ke kiri. Maka di sini saya agak terkebil-kebil dengan tangga bergeraknya. Setinggi dua tingkat dengan satu tangga sahaja. Saya bandingkan di Sabah yang tangga mengikut tingkat demi tingkat. Gerun dan gayat rasanya apabila memandang ke bawah. Turun ke bahagian bawah lapangan terbang, sekali lagi saya terkebil-kebil. Rupanya kami perlu menaiki train untuk ke lapangan terbang bahagian dua. Lapangan terbang Hong Kong ini sangat luas dan terletak di sebuah pulau kecil yang saya kira adalah pulau buatan (lautan yang ditambak, mungkin. Kerana pulau kecil ini hanya ada lapangan terbang sahaja) lapangan terbangnya pula dibahagikan kepada dua. Satu bahagian ketibaan atau berlepas. Tiada sebarang kedai mahupun kaunter di sini. Yang ada hanyalah kerusi kosong tempat menunggu untuk berlepas. Keadaannya sangat lengang. Bahagian kedua pula adalah kawasan lapangan terbang sebenar. Seperti lapangan terbang yang lainnya. Ada kaunter, restoran, kedai dan banyak lagi. Mungkin tiga atau empat kali ganda besarnya jika dibandingkan dengan lapangan terbang kota kinabalu.
Tiba di lapangan terbang bahagian dua ini, train akan berhenti sendiri. Semua penumpang pun turun. Saya sekali lagi mengikut sahaja orang yang ada di hadapan. Dengan perasaan berdebar dan teruja, saya mendaftarkan diri di bahagian imigresen. Sekali lagi saya tersilap. Sepatutnya saya telah mengisi borang masuk ke Hong Kong lebih awal dan hanya perlu diserahkan di kaunter sahaja. Oleh kerana saya belum mengisinya lagi, saya terpaksa ke tepi dahulu dan mengisi borang tersebut. Dan saya tidak membawa pen. Sedang tercari-cari pen untuk menulis, seorang lelaki di sebelah sudi meminjamkan pennya kepada saya. Setelah siap urusan di kaunter, dia sempat memberi isyarat kepada saya untuk mengambil sahaja pen tersebut. Terima kasih daun keladi! Borang saya isi dengan menggunakan pen itu. Hanya perlu lengkapkan borang seperti nama, nombor passport dan juga alamat tempat tinggal di Hong Kong. Saya hanya tuliskan sahaja nama hotel tempat saya menginap nanti. (Guesthouse sahaja yang saya sempat tempah secara online sewaktu di lapangan terbang KK sebelum berlepas).
Setelah menyerahkan borang masuk ke Hong Kong, diperiksa passport dan muka, saya dengan mudah dapat berlalu ke bahagian tuntutan bagasi tanpa masalah. Di bahagian bagasi, saya terkebil-kebil lagi. Rupanya ada terlalu banyak kaunter tuntutan bagasi, ku kira lebih 30 kaunter. Saya teringatkan lapangan terbang KK lagi yang hanya ada beberapa buah kaunter sahaja. Dengan pantas saya bertanya di kaunter pertanyaan dan gadis bertugas meminta saya untuk merujuk ke bahagian skrin. Cari-cari..akhirnya jumpa. Di kaunter 8 rupanya. Dari jauh saya sudah melihat bagasi saya berpusing perlahan-lahan di kaunter bagasi. Saya mengambilnya dan berlalu ke ruangan seterusnya.
Pertama sekali saya ke kaunter pelancongan atau informasi untuk pelancong. Saya bertanyakan tentang cara saya hendak ke Chungkin Mansion, iaitu guest house tempat saya menginap nanti. Petugas kaunter mengambil peta dan menunjukkan jalan ke sana. Saya ada pilihan sama ada menaiki bas atau MRT. Saya memilih bas. Katanya, saya perlu ke bahagian bas dan naik ke bas A21, dan saya perlu turun di hentian Middle Road. Berbekalkan maklumat itu, saya ke kaunter sebelah iaitu kaunter kad octopus. Kad ini digunakan untuk menaiki pengangkutan awam di Hong Kong. Rupanya adalah seperti kad Touch n Go. Saya membeli kad tersebut dengan 150HKD.
Saya hampir terlupa maklumkan jenis mata wang yang digunakan di Hong Kong. Di Hong Kong ini, matawangnya adalah Hong Kong Dollar. Janganlah terperanjat dengan perkataan Dollar tu, kerana matawang mereka lebih rendah berbanding kita. Tukaran pada waktu ini ialah RM 1 = 1.70 HKD. Hampir dua kali ganda jumlahnya. Saya sempat menukar wang HKD di lapangan terbang KK sebelum bertolak ke Hong Kong. Jumlah yang saya tukar adalah sebanyak RM2000 bersamaan dengan 3940HKD. (Jumlah tukaran matawang di Malaysia lebih tinggi berbanding di Hong Kong). Maka lebih baik menukar duit di Malaysia sebelum bertolak ke Hong Kong kerana nilai RM akan susut apabila berada di Hong Kong. Jika saya menukar duit di Hong kong dengan jumlah duit RM yang sama, saya hanya akan dapat sekitar 3400HKD sahaja. Jadi saya sudah untung lebih 500HKD.
Berbalik dengan kad octopus tadi, jumlah 150HKD itu adalah termasuk deposit sebanyak 50HKD. Jadi, jumlah yang ada dalam kad tersebut hanyalah 100KHD sahaja, yang boleh digunakan. Tetapi anda boleh juga menambah nilai kad tersebut di mana-mana sahaja kaunter  bas atau stesen ,MRT yang berhampiran. Bagi saya sendiri, sesiapa yang dating ke Hong Kong haruslah membeli kad octopus ini kerana dapat memudahkan pergerakan anda hendak ke mana-mana. Hanya perlu scan/imbas sahaja setiap kali menaiki pengangkutan awam. Jenis pengangkutan awam juga adalah pelbagai. Bas, train, tram dan juga feri.
Disebabkan oleh faktor ruang yang terhad, penggunaan kenderaan peribadi di Hong Kong juga sangat terhad. Pengangkutan awam sahaja yang digunakan untuk bergerak. Penduduk Hong kong selalunya akan menaiki train bawah tanah dan juga bawah laut untuk ke mana-mana. Bas, tram dan juga feri biasanya digunakan oleh pelancong kerana boleh menikmati pemandangan kota Hong Kong. Seperti yang saya katakan, Hong Kong terbahagi kepada 4 pulau. Setiap pulau ini dihubungkan dengan train bawah tanah/laut dan juga jambatan. Ada juga teksi yang biasanya digunakan oleh pelancong sahaja. Jalan raya di Hong Kong juga adalah kecil dengan 2 atau 4 lorong sahaja. Tiada lebuh raya mahupun jalan berkembar. Apa yang menariknya ialah jalan raya tidak mengalami jammed yang teruk. Kenderaan bergerak dengan lancar dan kenderaan di jalan raya juga tidak sesak. Saya hanya dapat melihat kereta-kereta mewah, teksi, bas, tram dan juga lori bertutup sahaja untuk menghantar barangan.