My Buddies

Wednesday, February 27, 2013

Fesyen bagi gadis bertubuh kecil


Fesyen bagi gadis bertubuh kecil
 \
Kalau si gempal berasa segan dan sukar untuk mencari pakaian, begitu juga dengan si kecil molek. Namun, satu kelebihan bagi yang bertubuh genit ialah baju yang besar masih boleh diubah suai menjadi kecil. Pelbagai alternatif dalam berfesyen bagi golongan ini.
1)Sesuai pada tubuh badan
Pemilihan pakaian yang sesuai pada tubuh badan si gadis genit amat penting agar tidak nampak canggung. Jangan pakai baju yang terlalu besar kerana kamu hanya akan kelihatan pelik atau mungkin orang akan berkata baju tersebut sebagai ‘baju pinjam’.

2)Garisan menegak
Pilihlah baju dengan garisan yang menegak.Tidak semestinya kamu memakai pakaian yang bercorak belang menegak. Cukuplah sekadar mempunyai potongan menegak yang menampakkan tubuh genit kamu menjadi sedikit tinggi. Setidak-tidaknya ia dapat membantu bukan?

3)Berkolar V
Pilihlah top dan jaket yang berkolar V atau bentuk U. Bentuk kolar baju seperti ini dapat memberi ilusi terhadap bentuk leher agar nampak lebih jinjang.

4)Kasut tumit tinggi
Sila pakai kasut tumit tinggi! Ini merupakan jalan penyelesaian yang paling ideal untuk menambah ketinggian. Jangan sesekali memakai kasut pump atau kasut mendatar yang lain. Namun begitu, ianya terpulang kepada keselesaan si pemakai. Elakkan juga pemakaian kasut silang yang terlalu banyak tali kerana ia akan menampakkan kaki kamu lebih pendek.

5)Pemakaian aksesori
Elemen aksesori perlu dititik beratkan kerana aksesori mampu mengubah penampilan seseorang dalam sekelip mata. Baju yang dipenuhi corak sarat serta hiasan seperti labuci ataupun manik perlu dielakkan. Manakala daripada segi beg pula, elakkan daripada menggunakan beg tangan yang besar kalau tidak nanti kamu akan “ditenggelamkan” oleh beg kamu itu. Pilih beg yang sederhana tapi masih sesuai dengan gaya anda.

6)‘Tidak’ pada skirt mini
Tolak keras-keras gaun pendek dan skirt mini! Walaupun ia nampak menawan, namun ia sama sekali tidak sesuai bagi golongan petite. Kaki kamu akan nampak lebih pendek dengan skirt mini yang tinggi daripada paras lutut. Ianya juga menonjolkan tulang kaki yang kecil melidi. Apa kata gayakan skirt panjang yang sedikit kembang dan padankan dengan kasut ala-ala mini boot. Pasti menarik!

7)Seluar potongan lurus
Pakai seluar atau celana jean yang mempunyai potongan lurus (straight cut) berbanding dengan skinny jeans. Untuk nampak sempurna, jangan pakai seluar dengan poket yang banyak, lipatan serta mempunyai butang pada hujung seluar. Daripada segi tali pinggang pula, pilih tali pinggang yang nipis dan tidak lebar bentuknya.

Setiap wanita boleh tampil bergaya, cantik dan menarik asal saja dia tau apa yang harus digayakannya. Begitu juga dengan wanita yang bertubuh kecil, jangan jadikan alasan itu untuk menghalang anda bergaya dengan trend masa kini. Anda haruslah bijak menyembunyikan kekurangan diri, bukannya menunjukkannya dengan cara bergaya yang salah.