My Buddies

Monday, October 24, 2011

WARNA DALAM FESYEN

Para pereka fesyen mengatakan, terdapat peraturan warna dalam fesyen, iaitu tidak boleh menggunakan lebih dari 3 warna dalam pakaian kita. Kenapa agaknya?? Cuba perhatikan tubuh anda sekarang? Anda memakai baju berwarna apa hari ini? Jika warna hijau, nah, secocok sekali dengan saya. Hijau, warna yang pernah buat saya jatuh cinta suatu ketika dahulu. Membawa kesegaran buat si pemakainya..ntahla! saya bukanlah seorang pakar dalam fesyen, mahupun pereka fesyen. Saya hanyalah seorang gadis yang sangat obsess terhadap Fashion!
Dalam fesyen, kita tidak boleh lari dari memperkatakan tentang warna kerana warna adalah elemen penting dalam penataan gaya seseorang. Gabungan warna yang sesuai dengan personaliti menyumbang ke arah keserasian empunya diri dan menjadikannya sebagai tarikan dengan hasil padanan yang dikenakan unik dan berani. Anda setuju? Mungkin belum lagi sehingga saya dapat buktikan bertapa pentingnya warna dalam fesyen. Stay in this site!
Jika kita lihat, warna dapat mengubah keseluruhan penampilan kita dan mempengaruhi bagaimana orang mengenal kita hanya melihat daripada penampilan pakaian kita sahaja. Ini kerana warna pakaian dapat menampilkan sama ada kita serasi ataupun tidak dengan sesuatu pakaian yang digayakan. Tahukah anda bahawa warna juga mempunyai kekuatan? Warna mempunyai efek tertentu sehingga satu warna akan memiliki ertinya sendiri dan juga jati diri seseorang serta “suasana” hatinya juga akan dapat dibaca oleh orang lain. Warna juga dapat mempengaruhi, emosi, mood dan perasaan. Bayangkan bertapa berkuasanya warna!
Cuba perhatikan erti warna dalam kamus fesyen di bawah. Setelah itu anda sendiri yang tentukan esok nak pakai warna apa. Kalau nak tiru macam saya, boleh pakai warna ungu. (@_@)
Putih
Warna yang memantulkan cahaya dan dianggap warna musim panas. Juga sering melambangkan kepolosan dan kebersihan. Warna ini juga adalah warna yang fleksible kerana mudah dipadankan dengan apa sahaja warna. Terdapat pendapat yang mengatakan bahawa warna putih dapat memberikan tenaga positif kepada si pemakainya. Ianya dapat menarik orang lain untuk mudah akrab dengan si pemakai dan mudah dipercayai kerana putih mencerminkan kejujuran dan kesucian. Itulah sebabnya mengapa pakaian pengantin perempuan berwarna putih!
HITAM
Warna hitam sering dikaitkan dengan kesedihan atau kedukaan dan sering dikaitkan dengan dunia kejahatan. Tapi dalam fesyen, hitam diertikan sebagai stylish  dan timeless. Ianya mencerminkan kekuatan dan keanggunan. Warna ini dapat menimbulkan kesan elegan dan bernilai tinggi bagi si pemakainya serta menonjolkan imej seksi. Seperti juga warna putih, hitam juga mudah disuaipadankan dengan pelbagai jenis warna. Bagi mereka yang bertubuh saiz XXXL pula, hitam adalah pilihan yang paling tepat kerana dapat mewujudkan imej langsing kepada si pemakainya. Jadi gadis-gadis di luar sana, anda wajib mempunyai satu gaun hitam!
MERAH
Warna ini sering dikaitkan dengan keberanian dan kekuatan. Seseorang yang memakai busana yang berwarna merah akan mengundang perhatian khalayak tanpa perlu berkata atau berbuat apa-apa. Selain itu, warna ini juga dapat mencerminkan si pemakai seorang yang berperibadi tegas, berani mengambil risiko dan juga dominan.
BIRU
Biru digambarkan dengan ketenangan, idealisme dan inspirasi. Warna ini dapat membangkitkan perasaan yang halus dan relax. Memakai pakaian ini memberi maksud bahawa anda ialah orang yang tekun, selalu waspada, dan juga memiliki sikap adil dalam semua hal.
HIJAU
Warna kemakmuran. Hijau melambangkan alam yang bererti tenang, dan segar. Pakaian berwarna hijau sangat sesuai dipakai ketika anda mengalami stress. Ianya bukan sahaja menampakkan anda bersemangat, malahan anda juga kelihatan ceria dalam pakaian berwarna hijau. Warna hijau juga menunjukkan kemesraan dan kelembutan kepada si pemakainya. Untuk warna hijau tua, akan memberikan kesan maskulin.
KUNING
Kuning membawa suasana yang gembira, ceria, optimis dan penuh semangat. Warna kuning ialah warna yang terang dan riang yang sering dikaitkan dengan kebahagiaan dan keaamanan. Umumnya, warna ini sesuai di pakai pada pakaian kasual, t-shirt mahupun sportwear. Namun jika penggunaan warna kuning  secara berlebihan akan membuat orang lain silau sehingga orang lain tidak selesa berada dekat dengan anda.

UNGU
Ada satu fakta menarik berkenaan dengan warna ini, ianya dikatakan warna “janda” yang melambangkan kesedihan dan inginkan kebahagian(?). Asasnya warna ungu terhasil daripada gabungan warna merah dan biru. Warna ini menggambarkan kemewahan, feminine dan romantic. Tidak hairanlah jika warna ini menjadi warna kegemaran Cleopatra. Sangat sesuai jika dipakai pada temujanji pertama dengan si dia.
COKLAT
Coklat mencerminkan warna tanah dan alam. Warna ini sesuai dengan musim luruh dan mudah digayakan dengan warna-warna lain. Warna ini juga mewujudkan ketenangan kepada si pemakainya. Disebalik warna ini, anda akan kelihatan kuat, sederhana dan bijaksana.





Sekarang bagaimana? Anda percaya bahawa warna itu sangat penting? Terima kasih!

No comments:

Post a Comment

didiy fashion