My Buddies

Monday, July 27, 2015

PERCUTIAN PENDEK KE PULAU MANUKAN, SABAH

Sudah lama merancang untuk bercuti ke pulau manukan, namun ada sahaja halangan yang mendatang. Kali ini tanpa ragu-ragu, saya dan seorang teman yang juga berkongsi minat yang sama telah merealisasikan hasrat yang sudah sekian lama terpendam ini. Kebetulan teman saya ini telah mendapat cuti sempena hari raya aidilfitri, maka kami memutuskan untuk pergi pada hari khamis 16 Julai 2015 yang lepas. Memandangkan kami memang tinggal di tengah-tengah bandaraya Kota Kinabalu ini, jadi kami hanya berjalan kaki ke Jeti Jesselton Point yang mengambil masa kurang dari 15 minit sahaja. Kalau rasa malas nak jalan kaki, boleh saja naik teksi. Biasanya teksi akan kenakan bayaran dari RM5-10 untuk perjalanan dalam bandaraya kk (misalnya dari Sinsuran ke Jesselton Point). Dalam perjalanan ke Jesselton Point tu, kami sempat singgah bersarapan di Gaya Street dan membeli barang-barang makanan di supermarket Tong Hing. Supermarket ini memang sudah menjadi kebiasaan untuk pelanggan singgah untuk membeli keperluan makanan jika ke Jesselton Point. Maklumlah, harga makanan di Pulau tu nanti lebih mahal berbanding di KK. Oleh itu dinasihatkan untuk membawa makanan bekal sendiri agar lebih jimat.

             Pemandangan pintu masuk Jesselton Point dari arah luar

          Tiba di Jesselton Point, terus sahaja masuk ke dalam Ticketing Hall atau dewan tiket. Di sinilah anda akan membeli tiket untuk ke Pulau Manukan atau pulau-pulau sekitarnya. Dalam hall ini, ada terdapat banyak Travell Agency atau agensi pelancongan yang akan membawa anda ke Pulau yang dikehendaki. Bolehlah pilih mana-mana travel agency yang berkenan di hati.

                                 Pelbagai pilihan agency


 Bagi saya, setiap agency itu menawarkan pakej yang sama sahaja (kecuali jika ada promosi atau potongan harga), cuma yang membezakannya adalah jenis (tempat duduk) bot dan perjalanan bot. Saya dan teman telah memilih Aparu Holiday Tours Sdn Bhd sebagai travel agency kami. Harga tiket ke pulau ini tidaklah semahal mana. Lebih dari berbaloi dan anda pasti tidak akan rugi.
Harga tiket dewasa (untuk ke pulau manukan sahaja)
Tambang bot
RM23.00
Bayaran Jeti terminal
RM7.20+GST=RM7.63
Bayaran pemuliharaan pulau
RM3.00 (dibayar di pulau)
Jumlah
RM33.63

Jangan risau sekiranya anda terlupa untuk membeli “hot beach essential” atau barangan keperluan ke pulau/pantai kerana di hall ini juga terdapat banyak kedai-kedai yang menjual barangan untuk ke pulau/pantai seperti topi, cermin mata hitam, dress pantai, krim tabir suria, bikini, peralatan menyelam dan juga makanan dan minuman. Bagi si fashionista, jangan lupa dapatkan krim tabir suria bagi mengelakkan kulit terkena sunburn. Selain itu, terdapat juga beberapa sukan air yang anda boleh cuba seperti Banana boat, Jet ski, parasailing, dan flying fish dengan harga yang berpatutan. Anda boleh memilih untuk melanggannya di travel agency yang anda pilih ataupun melanggannya ketika berada di pulau nanti (berlainan agency). Sukan air yang sering dicuba oleh pelancong ialah parasailing dan banana boat. Anda juga boleh menyewa peralatan menyelam seperti mask & snorkel (RM10), life jacket (RM5), dan fins (RM5).
Setelah selesai urusan membeli tiket dan meninjau-ninjau barangan yang dijual di dalam hall, saya dan teman keluar menunggu bot di jeti. Di kawasan luar jeti Jesselton ini terdapat banyak gerai-gerai makanan dan restoran. Pelancong boleh memilih untuk bersarapan sebelum bertolak ke pulau. Memandangkan kami sudah bersarapan lebih awal, kami hanya menunggu bot sahaja. Jadual perjalanan semua bot adalah sama iaitu mula bertolak ke pulau dari pukul 8.00 pagi dan berangkat pulang paling lewat pada pukul 4.00 petang. Bot akan bertolak setiap 20 minit. Kami memilih untuk bertolak pada pukul 10.00 pagi dan pulang pada pukul 2.00 petang. 
Jeti Jesselton Point


Bot yang kami naiki bersaiz sederhana sahaja dengan kadar muatan sebanyak 8 orang. Sejujurnya ini ialah pengalaman pertama bagi saya untuk menaiki bot laju. Perasaan gerun menghantui jiwa tambahan pula pengemudi bot membawa bot dengan amat laju. Dari kejauhan bandaraya kk kelihatan semakin mengecil. Perjalanan dari Jesselton point ke Pulau Manukan hanya mengambil masa kira-kira 10-15 minit sahaja.
Tiba di jeti Pulau Manukan, saya yang takut-takut untuk melompat dari bot ke jeti terkaku di dalam bot. Mujur seorang pelancong lelaki yang menaiki bot yang sama sudi menghulurkan tangan dan saya sambut tanpa ragu-ragu. Jeti Pulau Manukan agak panjang dan kami berjalan kaki ke pintu masuk pulau. Kedatangan kami disambut dengan laut yang membiru dan pantai yang memutih. Air laut kelihatan sangat jernih sehinggakan saya boleh melihat ikan-ikan berenang di dalamnya. Sungguh indah sekali ciptaan Tuhan! Rugi rasanya sekiranya terlepas peluang untuk menyaksikan pemandangan seindah ini, apatah lagi jika anda sendiri ialah penduduk bandaraya KK.






Untuk masuk ke kawasan pulau, kami perlu melalui pintu masuk pulau dan perlulah membuat bayaran sebanyak RM3.00 setiap seorang bagi warganegara Malaysia berumur 18 tahun ke atas. Tujuannya bayaran ini dikenakan adalah untuk kegunaan pemuliharan pulau manukan. Di sini juga ada disediakan tapak perkhemahan dengan kadar sewa sebanyak RM5.00 seorang bagi dewasa dan tempat untuk BBQ dengan kadar sewa yang sama. Urusan pembayaran selesai dengan mudah sahaja dan kami terus ke kawasan pantai. Mujur masih ada meja kosong untuk bersantai dan meletakkan barangan. 






Di tepi pantai ini terdapat banyak meja-meja kosong disediakan untuk pelancong. Kebetulan pada hari tersebut pelancong yang datang sungguh ramai dan keadaan pantai agak meriah dengan pelbagai gelagat pelancong yang kebanyakannya dari luar negara. Mungkin sahaja disebabkan oleh cuti sekolah sempena Hari raya telah bermula dan warga kota mengambil peluang ini untuk bersantai dengan keluarga.


Setelah berehat seketika, saya menyediakan makanan tengahari iaitu roti tuna dengan telur rebus. Makanan bekal yang ringkas sahaja dan makanan ringan yang sempat dibeli di Supermarket Tong Hing. Sesudah itu, saya mula memakai krim tabir suria bagi mengelakkan kulit dari sunburn dan menukar pakaian yang lebih sesuai untuk bermandi-manda. Tidak juga dilupakan untuk mengambil gambar sebanyak yang mungkin bagi mengabadikan momen indah ini dalam lipatan memori. Rasa sungguh seronok bermandi-manda di lautan yang sungguh jernih bersama-sama dengan ikan-ikan yang jinak sahaja.  Mungkin ikan-ikan itu pun sudah biasa berenang bersama manusia memandangkan kawasan ini kawasan larangan untuk menangkap ikan. Apa yang saya dapat perhatikan ialah kawasan air laut agak dalam. Saya biasanya mandi di kawasan tepi pantai tetapi airnya cetek. Jauh dari kawasan pantai barulah airnya perlahan-lahan semakin dalam. Tetapi di pulau ini, hanya beberapa meter sahaja dari kawasan pantai, kedalaman airnya sudah mencecah pinggang. Dinasihatkan agar tidak berenang jauh dari pantai dan pakailah jaket keselamatan, terutamanya bagi yang tidak pandai berenang seperti saya ini.
Puas bermandi-manda dan bermain pasir, kami naik semula ke kawasan meja (dan kerusi kayu) dan menikmati makanan tengahari yang serba ringkas. Walaupun ringkas, pemandangan yang cantik dan udara yang nyaman membuatkan apa sahaja yang dimakan terasa sungguh lazat. Sekali lagi saya tekankan, rugi sekiranya anda tidak datang ke sini dan merasai sendiri pengalaman di pulau manukan ini.



Di pulau ini terdapat pelbagai kemudahan seperti tandas awam, tempat mandi awam, restoran, gerai makanan, gerai peralatan menyelam, padang, tapak perkhemahan dan juga beberapa resort dan chalet. Anda boleh sahaja memilih untuk menginap di pulau ini sekiranya berminat. Aktviti seperti sukan air, sukanena dan acara-acara seperti hari keluarga, majlis sambutan hari jadi, berbulan madu dan kawasan penggambaran untuk perkhawinan juga sangat sesuai dijalankan di pulau manukan ini. Setelah selesai menjamu selera, kami bergerak ke kawasan tempat mandi/tandas awam untuk mandi dan menyalin pakaian bersih. Sesudah itu, kami berjalan-jalan sekitar pulau dan pantai untuk menghayati keindahan Pulau Manukan.  
Tepat jam 1.30 petang kami mula berjalan kaki kawasan jeti bagi menunggu bot tiba. Di jeti, kami terserempak dengan pasangan yang sedang mengadakan pre-wedding photoshoot. Sememangnya kawasan ini sungguh cantik untuk diabadikan di dalam gambar perkhawinan. Di jeti Pulau manukan juga disediakan pondok tempat menunggu bot. Ramai pelancong yang bersama-sama dengan kami berada dalam pondok jeti tersebut. Disebabkan ramai pelancong dan bot yang datang, kami agak keliru mencari bot yang akan kami naiki. Mujur terjumpa dengan staff Aparu Holiday yang menunjukkan bot agency mereka. Ketika mencari bot pulang, lebih baik sekiranya anda tiba lebih awal ke jeti kerana anda akan ketinggalan sekiranya lambat tiba ke jeti. Bot akan bertolak tepat jam 2.00 petang. Anda juga dinasihatkan untuk sentiasa memegang tiket anda agar mudah dilihat oleh staf agency yang anda telah pilih.
Perjalanan pulang dengan menaiki bot lebih relaks kerena bot di pandu perlahan. Jauh di daratan kelihatan bandaraya KK, kawasan Sutera Harbour Resort dan juga pantai tanjung aru. Kami selamat tiba di jeti Jesselton point dengan penuh kegirangan di dalam hati. Bagi mereka yang belum pernah ke Pulau Manukan atau pulau-pulau sekitarnya iaitu Pulau Sapi, Pulau Mamutik dan Pulau Gaya, marilah datang berkunjung dan rasailah sendiri pengalaman bermain ikan-ikan di lautan yang sungguh jernih. Sampai bertemu lagi.