Kita punya takrifan yang berbeza
tentang bahagia. Salah satu bahagia buat saya adalah berdiri di bumi yang asing
sambil tersenyum melihat karenah manusia. Bumi Hong Kong, bumi bertuah dengan
hutan konkrit pencakar langit. Saya di kalangan jutaan manusia yang bertuah
untuk dapat memijak kota metropolitan yang tidak pernah tidur ini. Percutian singkat
saya ke Hong Kong adalah tanpa dirancang. Tanpa mengkaji terlebih dahulu negara
kecil dengan empat pulau ini, saya terus menempah tiket kapal terbang. Tiada perancangan,
tiada tempahan atas talian, tiada teman, hanya diri saya sendiri dan sebuah
bagasi ungu yang terkopek sedikit di bahagian atas, saya memulakan perjalanan
ke bumi bertuah ini. Petang rabu, dengan cuaca yang panas terik di Kota
Kinabalu, saya menaiki pesawat Air Asia untuk penerbangan terus ke Hong Kong.
Setiba di Hong Kong, saya disambut
dengan pemandangan malam yang disimbah cahaya lampu neon di merata tempat. Sangat
cantik! Keletihan di pesawat selama 3 jam bagai tidak terasa. Dengan perasaan
yang sangat teruja, saya terus bergegas masuk ke dalam lapangan antarabangsa
Hong Kong. Kedinginan bayu musim bunga menyapa lembut tubuh saya sehingga badan
terasa menggigil. Nah, di sini baharu mula terasa kesilapannya kerana tidak
memeriksa terlebih dahulu keadaan cuaca di Hong Kong. Selama ini saya anggap
bahawa Hong Kong adalah negara Khatulistiwa seperti Sabah. Rupanya negara ini
mengalami empat musim!(sub-tropika) Saya melihat ke kiri dan kanan semuanya berbaju tebal,
berlapis dan berkasut. Nampaknya saya seorang sahaja yang bersandal tapak
seinci dengan gaun hitam paras lutut dipadankan dengan legging hitam nipis
melekat! Sungguh kedinginan di peralihan musim sejuk ke musim Bunga ini bagai
menusuk ke tulang hitam. Apakan daya ku seorang wanita yang kurang
berpengetahuan..cia..cia..cia
Sejujurnya saya tidak tahu ke mana hala
tuju selepas turun dari pesawat. Jadi saya memutuskan untuk hanya mengikut
sahaja orang yang ada di hadapan. Agak jauh berjalan kaki di kawasan lapangan
terbang yang sunyi sepi ini. Turun ke tangga bergerak, saya juga mengikut. Belok
ke kiri, saya juga ke kiri. Maka di sini saya agak terkebil-kebil dengan tangga
bergeraknya. Setinggi dua tingkat dengan satu tangga sahaja. Saya bandingkan di
Sabah yang tangga mengikut tingkat demi tingkat. Gerun dan gayat rasanya
apabila memandang ke bawah. Turun ke bahagian bawah lapangan terbang, sekali
lagi saya terkebil-kebil. Rupanya kami perlu menaiki train untuk ke lapangan
terbang bahagian dua. Lapangan terbang Hong Kong ini sangat luas dan terletak
di sebuah pulau kecil yang saya kira adalah pulau buatan (lautan yang ditambak,
mungkin. Kerana pulau kecil ini hanya ada lapangan terbang sahaja) lapangan
terbangnya pula dibahagikan kepada dua. Satu bahagian ketibaan atau berlepas. Tiada
sebarang kedai mahupun kaunter di sini. Yang ada hanyalah kerusi kosong tempat
menunggu untuk berlepas. Keadaannya sangat lengang. Bahagian kedua pula adalah
kawasan lapangan terbang sebenar. Seperti lapangan terbang yang lainnya. Ada kaunter,
restoran, kedai dan banyak lagi. Mungkin tiga atau empat kali ganda besarnya
jika dibandingkan dengan lapangan terbang kota kinabalu.
Tiba di lapangan terbang bahagian dua
ini, train akan berhenti sendiri. Semua penumpang pun turun. Saya sekali lagi
mengikut sahaja orang yang ada di hadapan. Dengan perasaan berdebar dan teruja,
saya mendaftarkan diri di bahagian imigresen. Sekali lagi saya tersilap. Sepatutnya
saya telah mengisi borang masuk ke Hong Kong lebih awal dan hanya perlu
diserahkan di kaunter sahaja. Oleh kerana saya belum mengisinya lagi, saya
terpaksa ke tepi dahulu dan mengisi borang tersebut. Dan saya tidak membawa
pen. Sedang tercari-cari pen untuk menulis, seorang lelaki di sebelah sudi
meminjamkan pennya kepada saya. Setelah siap urusan di kaunter, dia sempat
memberi isyarat kepada saya untuk mengambil sahaja pen tersebut. Terima kasih
daun keladi! Borang saya isi dengan menggunakan pen itu. Hanya perlu lengkapkan
borang seperti nama, nombor passport dan juga alamat tempat tinggal di Hong
Kong. Saya hanya tuliskan sahaja nama hotel tempat saya menginap nanti.
(Guesthouse sahaja yang saya sempat tempah secara online sewaktu di lapangan
terbang KK sebelum berlepas).
Setelah menyerahkan borang masuk ke
Hong Kong, diperiksa passport dan muka, saya dengan mudah dapat berlalu ke
bahagian tuntutan bagasi tanpa masalah. Di bahagian bagasi, saya terkebil-kebil
lagi. Rupanya ada terlalu banyak kaunter tuntutan bagasi, ku kira lebih 30
kaunter. Saya teringatkan lapangan terbang KK lagi yang hanya ada beberapa buah
kaunter sahaja. Dengan pantas saya bertanya di kaunter pertanyaan dan gadis
bertugas meminta saya untuk merujuk ke bahagian skrin. Cari-cari..akhirnya
jumpa. Di kaunter 8 rupanya. Dari jauh saya sudah melihat bagasi saya berpusing
perlahan-lahan di kaunter bagasi. Saya mengambilnya dan berlalu ke ruangan
seterusnya.
Pertama sekali saya ke kaunter
pelancongan atau informasi untuk pelancong. Saya bertanyakan tentang cara saya
hendak ke Chungkin Mansion, iaitu guest house tempat saya menginap nanti. Petugas
kaunter mengambil peta dan menunjukkan jalan ke sana. Saya ada pilihan sama ada
menaiki bas atau MRT. Saya memilih bas. Katanya, saya perlu ke bahagian bas dan
naik ke bas A21, dan saya perlu turun di hentian Middle Road. Berbekalkan maklumat
itu, saya ke kaunter sebelah iaitu kaunter kad octopus. Kad ini digunakan untuk
menaiki pengangkutan awam di Hong Kong. Rupanya adalah seperti kad Touch n Go. Saya
membeli kad tersebut dengan 150HKD.
Saya hampir terlupa maklumkan jenis
mata wang yang digunakan di Hong Kong. Di Hong Kong ini, matawangnya adalah
Hong Kong Dollar. Janganlah terperanjat dengan perkataan Dollar tu, kerana
matawang mereka lebih rendah berbanding kita. Tukaran pada waktu ini ialah RM 1
= 1.70 HKD. Hampir dua kali ganda jumlahnya. Saya sempat menukar wang HKD di
lapangan terbang KK sebelum bertolak ke Hong Kong. Jumlah yang saya tukar
adalah sebanyak RM2000 bersamaan dengan 3940HKD. (Jumlah tukaran matawang di
Malaysia lebih tinggi berbanding di Hong Kong). Maka lebih baik menukar duit di
Malaysia sebelum bertolak ke Hong Kong kerana nilai RM akan susut apabila
berada di Hong Kong. Jika saya menukar duit di Hong kong dengan jumlah duit RM
yang sama, saya hanya akan dapat sekitar 3400HKD sahaja. Jadi saya sudah untung
lebih 500HKD.
Berbalik dengan kad octopus tadi,
jumlah 150HKD itu adalah termasuk deposit sebanyak 50HKD. Jadi, jumlah yang ada
dalam kad tersebut hanyalah 100KHD sahaja, yang boleh digunakan. Tetapi anda
boleh juga menambah nilai kad tersebut di mana-mana sahaja kaunter bas atau stesen ,MRT yang berhampiran. Bagi saya
sendiri, sesiapa yang dating ke Hong Kong haruslah membeli kad octopus ini
kerana dapat memudahkan pergerakan anda hendak ke mana-mana. Hanya perlu
scan/imbas sahaja setiap kali menaiki pengangkutan awam. Jenis pengangkutan
awam juga adalah pelbagai. Bas, train, tram dan juga feri.
Disebabkan oleh faktor ruang yang
terhad, penggunaan kenderaan peribadi di Hong Kong juga sangat terhad. Pengangkutan
awam sahaja yang digunakan untuk bergerak. Penduduk Hong kong selalunya akan
menaiki train bawah tanah dan juga bawah laut untuk ke mana-mana. Bas, tram dan
juga feri biasanya digunakan oleh pelancong kerana boleh menikmati pemandangan
kota Hong Kong. Seperti yang saya katakan, Hong Kong terbahagi kepada 4 pulau. Setiap
pulau ini dihubungkan dengan train bawah tanah/laut dan juga jambatan. Ada juga
teksi yang biasanya digunakan oleh pelancong sahaja. Jalan raya di Hong Kong
juga adalah kecil dengan 2 atau 4 lorong sahaja. Tiada lebuh raya mahupun jalan
berkembar. Apa yang menariknya ialah jalan raya tidak mengalami jammed yang
teruk. Kenderaan bergerak dengan lancar dan kenderaan di jalan raya juga tidak
sesak. Saya hanya dapat melihat kereta-kereta mewah, teksi, bas, tram dan juga
lori bertutup sahaja untuk menghantar barangan.