Siapa tidak kenal Kundasang, Sabah.
Sebut sahaja gunung Kinabalu, tanyalah sampai ke negeri Perlis sekalipun pasti
tahu tentang gunung gagah kebanggaan negeri di bawah bayu ini. Walaupun pernah
digegarkan dengan musibah gempa bumi dan tanah runtuh dua tahun yang lalu,
namun kemuncakmu Kinabalu masih menjadi perisaiku..(cewahhhhh…).
Kali ini saya ingin berkongsi tentang
percutian ke Kundasang, Ranau, Sabah. Kalau bercerita tentang tempat sejuk ini,
sampai 5,6 entry pun tidak selesai. Cukuplah sekadar beberapa perkara menarik
yang mampu dicoretkan. Mudah-mudahan bermanfaat kepada pembaca blog yang lain,
mahupun kepada orang yang berniat untuk bercuti ke Kundasang.
Saya sudah berkali-kali pergi ke
Kundasang. Jarak dari rumah ke sana adalah sekitar 3 jam lebih. Terbaru, saya
ke sana pada minggu lepas. Kali ini saya memandu sendiri dengan menggunakan
jalan Marak-Parak-Ranau (dari Kota Marudu ke Ranau). Tidak jauh, hanya
mengambil masa sekitar 1 jam 20 minit saya sudah tiba ke persimpangan jalan ke
pekan Ranau. Dari Ranau saya ke Kundasang. Kundasang adalah sebuah tempat yang
terletak di daerah Ranau tetapi mempunyai pekannya sendiri. Setiba di
Kundasang, tentunya perkara pertama yang akan dibuat adalah mencari tempat
untuk bermalam.