Agak berbeza dengan entri saya yang terdahulu, kini saya ingin memperkatakan tentang kesihatan. Satu isu yang sangat mudah difahami tetapi jarang sekali dititikberatkan.! Sungguh sedih. Mengapa saya kaitkan isu ini dengan fesyen? Saya ada alasan saya sendiri. Jawapannya ringkas, cantik itu SIHAT. Bagaimana kita hendak bergaya dengan fesyen pilihan kita jika kita tidak sihat? Fesyen, ia mencerminkan identiti. Saya percaya ramai yang tidak ingin kelihatan “berpenyakit” di hadapan orang lain bukan. Tipsnya juga cukup mudah, amalkan gaya hidup yang sihat. Bagaimana? Makan makanan yang seimbang, minum air yang mencukupi, dapatkan tidur dan rehat yang cukup, bersenam dan tenangkan fikiran. Kelima-lima aspek ini sangat berkait rapat dan menjurus kepada satu hasil sahaja=kesihatan yang baik.
Kita tidak akan lari daripada keinginan untuk merasai makanan yang enak-enak serta lazat. Tapi harus diingati bahawa jika kita tidak mengawal pemakanan kita, ianya akan memudaratkan diri kita sendiri. Makan apabila lapar dan berhenti sebelum kenyang, itu amalan yang baik dalam soal pemakanan. Lebihkan sayur-sayuran dan buah-buahan dalam pengambilan hidangan. Saya tertarik dengan kempen yang telah lama dilancarkan oleh kerajaan Australia, 2+5 bermakna makan 2 hidangan buah dan 5 hidangan sayur sehari. Ianya bukan sahaja membantu menyelesaikan masalah sembelit, malahan mampu mengurangkan risiko kanser usus. Kurangkan makanan yang manis dan berlemak. Makanan jenis ini selalunya sangat sedap dinikmati tetapi fikir dahulu sebelum makan.
Minuman juga begitu. Terdapat banyak sekali minuman yang ada di pasaran. Tidak salah untuk meminum minuman tersebut tapi haruslah beringat. Minuman yang manis atau bergas itu tinggi kandungan gulanya. Minuman yang berperisa pula mengandungi bahan kimia yang sudah terbukti mendatangkan kesan kurang elok terhadap kesihatan manusia. Sebaiknya amalkan meminum air putih sekurang-kurangnya 8 gelas sehari untuk kesihatan anda. Air sangat penting sebagai pengangkutan nutrien, hormon, toksin, dan hasil kumbahan dalam badan. layari http://www.konsumerkini.net.my/v1/index.php/berita-terkini/isu-makanan/498-jauhi-minuman-ringan-dan-banyak-minum-air-biasa-untuk-kesihatan bacaan yang lebih lanjut.
Selain dari aspek pemakanan, manusia juga harus mempunyai rehat dan tidur yang cukup. Ramai yang mengambil mudah akan hal ini. Tidur lewat malam sehingga mencecah ke subuh dan bangun awal atau lewat pada keesokkan harinya. Percayalah, ianya tidak baik untuk anda. Tidur dan rehat yang cukup diperlukan agar badan kita mendapat tenaga untuk melakukan aktiviti pada hari berikutnya. Akibat daripada kekurangan waktu rehat dan tidur hanya akan menyebabkan badan kita lemah dan tak bertenaga.
Senaman juga tidak kurang pentingnya. Ianya salah satu aspek penting dalam tubuh. Amalan senaman yang disyorkan adalah 20 minit setiap sesi dan dilakukan sekurang-kurangnya 3 kali seminggu. Banyak yang merungut bahawa mereka tidak mempunyai tempat untuk bersenam, ataupun tidak ada masa untuk itu. Hendak seribu daya, tak hendak seribu dalih. Banyak lagi jenis senaman yang kita boleh amalkan yang tidak perlu turun ke padang. Contohnya, berjalan kaki, berenang dan aerobic. Baik, cuba amalkan yang ini: jika hendak ke tempat kerja, cuba letakkan kenderaan anda jauh daripada bangunan pejabat/tempat kerja. Jadi anda mempunyai masa 5-10 berjalan kaki setiap pagi dan petang. Kemudian, jika pejabat/tempat kerja anda berada di aras yang tinggi dalam bangunan, cuba gunakan tangga daripada menggunakan lift. Menaiki tangga juga salah satu senaman yang baik untuk kaki kita. Cubalah.
Aspek yang tidak boleh juga diabaikan ialah aspek kesihatan emosi dan mental kita. Bagaimana cara kita untuk menangani stress, itu terletak di bahu kita untuk menentukannya. Setiap orang tidak kira apa jua pekerjaannya waima suri rumah sekalipun pasti akan menghadapi stress. Kita hanya dibezakan oleh kebijaksanaan kita mengurus stress itu. Sesenduk garam tetaplah sesenduk garam. Kalau termasuk di dalam secawan air, maka masinlah jadinya. Namun jika ia termasuk dalam selaut air, maka sedikit pun tidak terasa. Lapangkan hati untuk menerima segala dugaan dan masalah dalam hidup.
Penjagaan kesihatan jika diambil ringan pasti diri sendiri yang akan merana. Saya juga dulu tidak mementingkan penjagaan kesihatan walaupun saya sedia maklum akan kesan dan akibatnya. Sehinggalah pada tahun 2009 apabila satu daripada buah pinggang saya disahkan membengkak dan dijangkiti kuman, saya mula berubah. Bukan untuk sesiapa tapi untuk masa depan saya sendiri.
“kita boleh membeli makanan, tapi kita tidak boleh membeli selera”
“kita boleh membeli ubat penawar, tapi kita tidak boleh membeli kesihatan”
No comments:
Post a Comment
didiy fashion