My Buddies

Tuesday, May 15, 2012

KASIH IBU


Setiap kali bulan Mei menjelang, ingatan tulus ikhlas saya terhadap ibu-ibu terutamanya ibu saya sangat menebal. Mungkin kerana batasan waktu dan jarak telah memisahkan saya dengan ibu tersayang. Berada berjauhan dengan ibu, bukan alasan untuk tidak mengingatinya. Apabila mengingatkan ibu saya, tidak ada lagi kata-kata yang mampu saya ungkapkan betapa saya mengkagumi ibu saya. Bagi saya, dia adalah The Great Mother!  Teringat masa kanak-kanak dahulu, setiap kali bangun pagi ke sekolah, saya pasti akan menangis kerana malas nak ke sekolah. Sehinggakan pada waktu itu kakak-kakak saya menggelar saya sebagai “radio pagi”..haahha..sungguh kasihan. Setiap kali itu jugalah ibu saya akan bangun lebih awal, menyediakan bekalan kami, memastikan semua lengkap dan memujuk saya supaya berhenti menangis dan pergi sekolah. Saya masih ingat, kata-kata pujukannya ialah, “kalau pergi ke sekolah boleh dapat susu sekolah (susu kotak)”. Jadi apabila saya balik ke rumah pada waktu petang, saya pasti akan membawa balik susu kotak itu untuk ditunjukkan kepada ibu saya. Dan dia pasti akan berkata “esok pergi sekolah lagi supaya dapat susu sekolah”. Tapi setiap kali bangun pagi, saya akan tetap menangis..haha
Kehidupan kami pada ketika itu sangat susah. Ke sekolah pun berjalan kaki seawal pukul 4 setengah pagi, dengan membawa lampu sulu atau pelita. Jarak dari rumah ke sekolah juga sangat jauh, lebih 5 kilometer. Maknanya saya terpaksa berjalan kaki lebih 10 kilometer sehari! Bayangkan bagaimana budak berusia 7 tahun mengharungi semua itu. Dan keadaan ini berlanjutan sehingga tamat sekolah rendah. Apabila bertukar ke sekolah menengah, saya mulai tinggal di asrama.
 Dalam menghadap masa-masa sukar waktu itu, terutamanya ketika tahun 1997 dan 1998 (saya dalam tahun 1 dan 2) apabila berlaku kegawatan ekonomi, usaha ibu saya untuk memastikan kami terus “hidup” sangat tinggi. Masih lagi segar dalam ingatan pada waktu itu kami hanya makan nasi bercampur dengan ibu kayu atau jagung, lauk pula sayur-sayur kampung atau ikan masin. Tanaman tidak menjadi, padi pun mati, kemarau panjang. Ibu saya akan pergi ke perigi setiap pagi untuk mengangkut air ke rumah. Kami pula akan membantunya pada waktu petang. Dengan 6 orang anak untuk diberi makan, itu bukan sesuatu yang mudah bagi ibu serta bapa saya. Pada petang hari jumaat pula, ibu akan mengumpul sayur-sayuran kampung/hutan untuk dijual pada keesokan harinya di tamu (pasar tani). Dapatlah sedikit duit untuk membeli beras dan ikan masin>kerana tahan lama.
Kini bila usia makin dewasa, saya masih terkesan dengan pengorbanan ibu membesarkan kami dalam kepayahan. Semoga satu hari nanti bila saya sudah tamat belajar dan mendapat pekerjaan, saya mampu untuk memberikan kesenangan kepada dia, di hari-hari tuanya. Kasih sayang saya pada ibu tidak mampu diukur dengan apa pun jua. Bagi rakan-rakan di luar sana, siapa pun ibu kita, jangan pernah lupakan pengorbanan dan kasih sayangnya. Selamat hari ibu..













No comments:

Post a Comment

didiy fashion