My Buddies

Friday, September 23, 2011

Lebih yakin

Bayangkan begini. Satu hari kamu sedang berada di sebuah kedai kain sambil membelek-belek kain yang di cari. Tiba-tiba datang seorang wanita dengan berpakain yang fabulous dan sophisticated, berkasut tumit tinggi, body yang cukup langsing dan seksi, rambut terurai rapi, dan sangat menarik perhatian kamu serta beberapa orang dalam kedai tersebut. Dia menjeling ke arah kamu, lalu melangkah  pergi penuh bertenaga dan confident. Wah..!! cantiknya perempuan itu!! Lalu kamu membelek diri sendiri, huhh..jauh panggang dari api.! Body kurang menarik, pakaian ala2 kadar saja, rambut kasar dan rapuh..Seinci pun tidak standing dengan perempuan tersebut. Aku tak secantik dia!! Dilema inilah yang dihadapi oleh kebanyakan wanita, terutamanya remaja.
Usah hanyut dalam arus begini. Siapa pun kamu, kamu tetap cukup istimewa. Setiap manusia ada kelebihan masing2. NOBODY PERFECTS! Ubahlah minda ke arah yang lebih positif dan kembalikan keyakinan diri kamu. Yakin pada diri sendiri merupakan elemen paling penting dalam diri manusia. Apapun yang kita perbuat jika kita yakin dan percaya, kita pasti menemui kejayaan. Walau apapun  matlamat yang ingin dicapai, jika kamu yakin dengan potensi dan kelebihan diri, hasil yang kamu peroleh pasti hebat. Percayalah pada keupayaan diri anda sendiri. Disini ada 6 langkah mudah untuk meningkatkan keyakinan diri yang saya petik dari majalah REMAJA. Semoga ia menjadi renungan kita bersama.
1.TARIK NAFAS DAN JANGAN TERBURU-BURU
Berfikiran santai dan tidak stess kepada sesuatu perkara akan membuka minda kamu untuk berfikir secara meluas. Ia juga membantu kamu dalam memberi idea yang lebih menarik tentang sesuatu perkara apabila kamu berfikir secara tidak terburu-buru.
2.KENAL PASTI KEKUATAN KAMU
Jika kamu merasakan kamu langsung tiada kekuatan atau kemahiran, kamu boleh cuba untuk menyenaraikan apa yang kamu suka lakukan dan menjadikannya sebagai kekuatan dalam diri kamu.
3.SENTIASA BERFIKIRAN POSITIF
Semua orang di dunia ini tidak sempurna dan mempunyai kekurangan masing-masing. Kamu tidak perlu merasa rendah diri dengan kekurangan kamu. Kadangkala kamu merasakan bentuk tubuh kamu tidak menarik tetapi haruslah diingatkan, masih ada orang lain yang mempunyai bentuk tubuh yang lagi tidak menarik daripada  kamu. Jadi jangan takut untuk merasakan diri kamu cantik dan tampil lebih yakin, ya?
4.JANGAN LETAKKAN HAD PADA DIRI
Satu sebab utama yang menyebabkan kamu tiada keyakinan diri ialah dengan meletakkan had kepada diri kamu untuk melakukan sesuatu perkara. Contohnya, jika kamu tidak mendapat markah tertinggi di dalam kelas, jangan fikirkan had kamu hanya setakat itu sahaja. Kamu harus berusaha lebih lagi kerana usaha itu tangga kejayaan. Kamu pasti akan mendapat markah tertinggi sekiranya kamu berusaha dengan bersungguh-sungguh. Yakinlah bahawa setiap orang pasti berjaya dengan adanya usaha.
5.RAIKAN KEJAYAAN KAMU WALAUPUN KECIL
Meraikan kejayaan kamu bersama-sama dengan keluarga atau sahabat handai boleh mendorong kamu untuk menjadi lebih berjaya. Walaupun kejayaan kamu hanyalah dengan lulus ujian memandu ataupun kamu berjaya memberikan ucapan di atas pentas, itu juga merupakan kejayaan buat diri kamu. Tidak salah untuk kamu meraikannya kerana itu akan membantu kamu menjadi  manusia yang lebih yakin.
6.HARGAI DIRI KAMU SETIAP HARI.
Fikirkan perkara baik yang kamu buat setiap hari antaranya bangun awal pagi, senyum kepada orang yang tidak dikenali, menelefon dan bertanya khabar kepada ahli keluarga kamu yang lain serta banyak lagi. Itu membuktikan bahawa banyak lagi perkara baik yang kamu boleh capai dalam satu hari dan ia merupakan sesuatu yang kamu boleh banggakan. Kamu akan boleh melangkah dengan lebih yakin dengan memikirkan tentang perkara baik yang telah kamu lakukan.
Naa..sekarang bagaimana? Ingin meneruskan kehidupan lama yang penuh dengan emosi atau ingin mengambil langkah mudah untuk berubah. Jangan takut berubah jika itu untuk kebaikan diri kita sendiri. Saya teringat akan sepotong ayat yang saya pernah baca dari buku (saya lupa tajuk buku tersebut). Bunyinya “tidak mungkin wujud kehebatan pada diri orang yang tidak mempunyai keyakinan diri”..Percayalah pada diri anda sendiri. Anda juga hebat, berkarisma, berketrampilan. Believe in yourself!


Tuesday, September 20, 2011

Tiada Definisi

              Sambil memerhatikan orang yang lalu lalang di Centre Point, fikiran saya berputar ligat. Melihat-lihat orang ramai dengan telatah dan tentunya fesyen mereka masing2. Tak kira tua atau muda, lelaki atau perempuan, semuanya ada penampilan tersendiri yang saya sebut FESYEN. Tapi hati masih tertanya2, apakah yang kita boleh ertikan dari maksud fesyen itu sendiri? Adakah ianya melibatkan pemakaian, trend, atau penampilan?  Apa pula yang perkara pertama yang terbayang di mata anda jika saya menyebut fesyen? Satu hal yang kita tak boleh lari dari memikirkannya ialah pakaian, bukan?


avril lavigne...idola fesyen remaja..tetap hot dri dlu hgga kini

 Jika kita melihat pada perkataan fesyen, kita secara tidak langsung dapat menangkap bahawa ianya merupakan kata pinjaman daripada bahasa inggeris iaitu “fashion”. Perkataan tersebut boleh ditambahkan imbuhan “mem” dan “ber” membentuk kata memfesyenkan dan berfesyen. Fesyen menurut kamus dewan membawa maksud “gaya pakaian, kosmetik, tingkah laku, dan lain-lain (terutamanya yang terbaru) yang menjadi kegemaran ramai.” Contoh ayatnya adalah, “berbagai-bagai fesyen rambut dapat kita lihat pada hari ini”. Berfesyen pula membawa maksud “menunjukkan atau mengikut sesuatu fesyen (dalam cara berpakaian dan lain-lain). Contohnya, “seperti gadis-gadis lain, Aminah suka berfesyen”. Manakala memfesyenkan pula bermaksud “membuat atau mengikut fesyen”. Contoh ayat, jangan sekali-kali memfesyenkan rambut yang tidak sesuai dengan raut wajah, umur atau tempat. Dengan sedikit penerangan dan contoh2 tersebut, sudah pasti kita dapat mendapat gambaran yang jelas apakah yang dimaksudkan dengan fesyen. Tapi saya bukan ajar anda bahasa melayu ya..hahaha..

selena gomez..ada identiti tersendiri

Apapun yang kita perkatakan untuk menerangkap makna fesyen, setiap individu pasti mempunyai pendapat dan pandangan tersendiri. Menurut Presiden Persatuan Pereka Bumiputera ,Mahani awang (temuramah dalam Kosmo), fesyen atau cara seseorang berpakaian secara keseluruhan boleh menggambarkan imej, iaitu sama ada gambaran positif atau negetif dan membentuk personaliti. Saya sangat bersetuju dengan pendapat tersebut. Sedar atau  tidak fesyen yang kita bawakan itu menggambarkan siapa kita. Dengan hanya melihat pakaian yang membalut tubuh seseorang, kita sudah boleh andaikan imej dirinya bagaimana, apa taraf sosialnya, gaya hidup dan keutamaannya.  Fesyen adalah satu bentuk ekspresi diri, luahan rasa si pemakainya. Kita tampilkan fesyen dengan cara kita sendiri, sangat subjektif dan ingin mengekalkan identiti masing-masing melalui fesyen. Pastinya tiada siapa yang suka dirinya di”klon”kan . Pastinya kita mahu kita ada penampilan tersendiri, tidak mahu dikongsi dengan orang lain.

antara idol fesyen

Menurut satu artikel dalam majalah Maskulin, fesyen itu ialah keinginan. Keinginan untuk perubahan dan ia menjadi sebahagian daripada asas kehidupan.  Pada asasnya, tujuan manusia memakai pakaian masih tidak berubah dari dulu dan kini. Hari ini kita masih memakai pakaian untuk kelihatan sopan, tetapi pilihan kita dalam berpakaian dipengaruhi oleh keinginan kita untuk menghias diri.
 Bagi saya sendiri, saya boleh katakan yang fesyen itu tiada definisi yang khusus. Fesyen merupakan sesuatu yang universal, bukan tertakluk kepada sesuatu. Bila bercakap tentang fesyen, ramai yang keliru sama ada dia suka berfesyen atau dia fashionable. Jangan tersilap, kedua-dua perkara ini sangat berbeza. Ada yang suka fesyen ganjil, ada yang suka fesyen yang sempoi. Ada baju yang cantik bila orang lain pakai, tapi bila kita sendiri yang cuba, silap2 nak tengok cermin pun tak berani..Fesyen ia tidak mempunyai ruang yang tertutup..bidangnya sangat luas. Kelihatan seksi pun satu fesyen juga, nak yang feminine pun fesyen juga. Terpulang lah kepada si pemakai bagaimana dia menjadikan sesuatu pakaian atau aksesori itu menarik di mata orang lain.

rihanna...ikon fesyen antarabangsa..

Fesyen sentiasa berubah. Mungkin apa yang kita gayakan pada hari ini kita nampak sangat trendy dan berfesyen, tapi dua tiga bulan kemudian, ianya mungkin sudah tidak relevan dengan permintaan fesyen semasa. Saya ingatkan, jangan TAKUT untuk berfesyen. Jangan takut untuk mencuba. Yang pasti, kita berfesyen untuk diri kita sendiri, sebagai cerminan peribadi kita, personaliti kita dan imej kita.  “Kecantikan itu bukan terletak pada orang yang dilihat, tapi pada orang yang melihat”.

Saturday, September 17, 2011

bukan SHOPAHOLIC

Di awal semester baru bermula, memang macam-macam ragam pelajar boleh dilihat. Apa yang pasti,semuanya ingin melengkapkan keperluan diri sebagai pelajar. Kadang-kadang yang tak diperlukan pun hendak dibeli. Sudah ada Laptop nak Ipad pula, da beli handphone jenama NOKIA, nak beli Motorola pula,da beli t-shirt warna merah, nak beli pula dress warna hitam..Amboi! Banyak pula barang-barang yang perlu dibeli. Pendek kata, membeli berdasarkan kehendak, bukan keperluan! Itulah dia jiwa remaja. Ya, amat sukar bagi kita menolak kemewahan hidup dengan barang-barang rekreasi, pakaian dan gadget yang sering menjadi idaman para remaja masa kini. Malahan orang dewasa yang matang pun tergoda dan terperangkap dalam situasi ini. Sukar untuk mengawal nafsu berbelanja, bukan..
Saya termenung sendirian memerhatikan segala barang-barang yang ada di bilik saya. Alat-alat solek bertimbun dalam kotak, frame-frame gambar yang berderet di rak kedua meja belajar. Di depan pintu pula tersusun kasut dan sandal pelbagai rupa yang telah saya pakai sepanjang satu minggu di kolej kediaman UMS ini, dan ada lagi yang belum dikeluarkan dari kotaknya. Sememangnya saya seorang yang obsessed pada kasut-kasut yang cantik, sandal, wedges, boot, loafer..kalau boleh semua pun nak angkut bawa balik. Perhatian saya beralih lagi ke atas meja belajar. Laptop, BB, handphone, Printer, iron..Ermm..semuanya tentang kehidupan?



Saya sedang memikirkan mengapa saya memiliki benda-benda ini. Adakah semuanya kerana saya suka berbelanja? Atau disebabkan oleh keperluan? Keseronokkan, kepuasan..?Hahaha..Sebenarnya saya di antara mereka yang sentiasa punya alasan untuk Shopping.  Terutama item fesyen yang sentiasa bertukar ganti dan mengaburi mata ini. Jiwa saya sebenarnya untuk menjadi seorang yang fashionista, bukannya seorang shopaholic! Tapi apakan daya, saya tak tahu saya menjadi salah satu diantaranya atau kedua-duanya sekali.
Shopping bagi saya adalah satu kemestian. Kita tidak dapat melarikan diri dari melakukan “aktiviti” ini dalam kehidupan kita kerana shopping bukan hanya untuk berbelanja bagi keseronokkan tetapi juga salah satu bab yang perlu untuk memenuhi keperluan hidup. iyala,kalau kasut dah koyak rabak, baju da luntur warna, mascara da jadi keras, kena juga lah nak keluar Shopping kan. Shopping juga salah satu terapi untuk kita. Bila da badan letih bekerja, bosan dengan perkara yang sama setiap hari, teringin juga nak keluar to have fun and  enjoy bersama rakan-rakan atau si dia. Apa yang anda pilih sebagai terapi bila anda agak kusut dan tension? Rata-rata perempuan pilih shopping kerana shopping ialah cara terbaik untuk relax dan have fun for sometimes. Itulah cara saya. Keluar untuk bersuka ria bersama rakan-rakan pada hujung minggu sambil shopping.  Kalau pun bukan shopping untuk diri sendiri, tapi belikan barang-barang untuk rakan-rakan atau anak-anak buah pun da kira ok untuk melegakan rasa kusut dan sesak kepala. Tapi jika diberi pilihan untuk keluar dengan rakan lelaki atau perempuan, saya pilih perempuan. Kenapa? Sebab perempuan lebih memahami jiwa saya, senang nak bawa masuk satu kedai ke satu kedai, boleh bagi pendapat nak pilih item yang mana satu dan shopping sehari suntuk pun, OK. Lelaki lain sikit. Mereka lebih suka yang ringkas dan cepat. Nampak ja yang berkenan  di hati, terus ambil dan bayar. Jadi minta maaf ya lelaki-lelaki di luar sana..anda bukan pilihan saya! Hahaha..
Ha, jangan tak tahu, shopping juga adalah langkah terbaik untuk bagi hadiah pada diri sendiri. Cuba ikut langkah ini. Apabila kita berjaya melakukan sesuatu yang terbaik, dapat naik pangkat atau jadi pelajar cemerlang misalnya, tidak salah untuk memberikan sesuatu untuk diri sendiri sebagai ganjaran dan motivasi untuk lebih berjaya, anda setuju? Anda patutnya setuju.! Jadi keluar lah ke shopping mall untuk membeli apa sahaja barangan yang kita idamkan selama ni. Tapi kena la juga berpada-pada ya. Nanti belum sampai hujung bulan, poket da kosong. Bila ada keperluan yang mendesak, di situlah terkejar-kejar ke sana sini nak cari tempat pinjam duit. Kan tak elok begitu. Pepatah melayu ada mengatakan, “Sediakan payung sebelum hujan. ”Takut pula jadi macam kambing bila dengar guruh di langit.
Maka, untuk mengisi jiwa yang gemar bershopping, berusaha lah untuk mencari altenatif lain bagi mengurangkan kenginan untuk memiliki segala yang baru. Kuasa  shopping memang tiada siapa yang dapat menyangkal tetapi kuasa kita mengawal diri itu harus lah lebih kuat lagi.. Ingat, bergaya tidak semestinya perlu berbelanja lebih. Asalkan ada usaha dan inspirasi. Untuk diri saya sendiri, saya tetap nak jadi fashionista, bukan SHOPAHOLIC!


Thursday, September 15, 2011

Langkah Pertama

  
 Dilahirkan di kawasan pedalaman dareah Pitas (dikatakan daerah termiskin), pengetahuan saya tentang IT sangat terbatas. Jangankan dapat akses internet, nak cari line handphone pun susah. Apatah lagi hendak membuat blog! Tetapi menurut cerita orang dan juga cerita salah seorang guru saya yang sangat saya hormati, kita boleh menulis apa saja melalui blog..ianya ibarat “diari online” kita sendiri yang mencatatkan tentang kehidupan kita seharian. Namun saya masih tertanya-tanya, APA ITU BLOG? Maka apabila saya mampu membeli laptop sendiri dan mula mengunakan jalur lebar, saya mula meneroka dunia blog, lantas jatuh cinta padanya. Mungkin juga kerana minat saya dalam bidang penulisan dan kewartawanan itu tidak pernah terhakis dalam diri. Kalau tak dipecahkan ruyung, manakan dapat sagunya..
Pertama kali memulakan langkah dalam dunia blog ni, saya tidak pernah ragu untuk terus melangkah..walaupun ini adalah blog saya yang pertama dan sudah pasti masih terlalu banyak yang saya perlu pelajari, namun saya sedia untuk “berumah di tepi pantai”..Kata orang, mana tau kalau belum cuba..cuba dulu baru tau..ya, pastinya suatu percubaan itu pasti akan mendatangkan keberhasilan suatu hari kelak.
Menerusi blog ini, ingin saya kongsikan kepada rakan-rakan maya tentang apa jua yang menarik minat saya dalam kehidupan seharian, terutamanya tentang fesyen, kecantikan dan kesihatan. Bagi saya, semuanya bergantung kepada MINAT. Kita berjaya melakukan sesuatu itu jika kita berminat padanya. Kerana minat itulah yang mendorong saya untuk menghasilkan blog ini.Terlanjur kaki sudah melangkah, apa jua halangan akan terus digagahi untuk meneruskan langkah ke hadapan..berundur setapak bererti mengalah! “There is no comparison between that which is lost by not succeeding, and that wich is lost by not trying”.-francis bacon. Saya berani memulakannya dan saya bertanggungjawab penuh terhadap apa jua yang saya coretkan di sini. Gambate!