Melangkah ke tahun 2012, pasti peminat-peminat fesyen di luar sana ternanti-nanti apakah trend fesyen yang bakal mewarnai dunia fesyen bagi tahun 2012. Sebagai salah seorang fashionista, saya juga tidak mahu ketinggalan untuk mengintai-intai ramalan fesyen 2012. Secara kebetulan saya menonton rancangan Wanita Hari Ini di TV3 pada hari jumaat yang lepas (30 Dis 2011). Topik rancangan itu berkaitan dengan fesyen 2012. Mengambil sedikit tips dari panel jemputan, Rizman Ruzaini dan juga sedikit bacaan Internet, saya rangkumkan untuk menyiapkan entri ini.
Terlebih dahulu dari segi warna. Ramalan warna dalam fesyen yang akan hangat pada tahun 2012 dikatakan ialah warna metalik, hitam putih dan juga warna-warna tanah. Warna-warna metalik bukan sahaja tertumpu kepada warna putih dan kuning sahaja tetapi juga melibatkan warna-warna lain seperti biru dan hijau. Terpulanglah kepada kita untuk memilih warna metalik yang sesuai dengan penampilan. Warna metalik ini sesuai digayakan bukan sahaja untuk perempuan tetapi kaum lelaki yang inginkan kelainan.
Warna metalik boleh membangkitkan aura glamour kepada si pemakainya. Untuk menggayakan busana yang berkilau-kilau (metalik) ini, tidak perlu mengenakan terlalu banyak aksesori kerana ianya sudah cukup untuk menimbulkan aura glamour.
Namun begitu, apa yang kurang menarik untuk pemilihan warna ini ialah ianya tidak sesuai bagi mereka yang bertubuh gempal (macam saya)..haha..ini kerana warna metalik akan membuatkan si pemakai akan kelihatan lebih besar dari saiz sebenar. Ini satu berita baik bagi mereka yang bertubuh kurus! Tetapi ini tidak bermakna wanita atau lelaki yang bertubuh gempal tidak boleh menggayakan warna metalik ini. Jika tidak boleh guna dalam pakaian, cuba kenakannya pada tudung, beg ataupun kasut. Jadi anda masih boleh tersenyum menggayakan warna metalik ini tanpa rasa ragu-ragu. Anda boleh memakainya tanpa dipandang “pelik” oleh orang lain. Mudah bukan. Wujudkan kelainan dalam penampilan untuk menjadikan gaya anda tampil berbeza. Jangan bataskan fesyen anda hanya kerana anda lihat tubuh anda tidak menarik.
Dari segi corak pula, menjelang tahun 2012 ini cetakan corak akan menjadi trend. Yang paling popular ialah corak animal print yang akan mewarnai dunia fesyen. Contoh animal print adalah seperti cat, lizard dan leopard. Cetakannya pula dalam saiz yang besar (bigger print). Untuk menggayakan corak animal printed ini pemakai harus berhati-hati kerana ianya tidak sesuai digayakan oleh semua orang. Sesetengah orang akan kelihatan menarik dan bergaya menggayakan corak ini sebaliknya pula tidak. Si pemakai akan kelihatan pelik jika mengenakan corak yang tidak sesuai untuk dirinya apatah lagi corak yang besar.
Bagi mengelakkan anda daripada “silap pilih gaya”, pemakaiannya haruslah bermula dari benda kecil atau sedikit demi sedikit dahulu. Contohnya, menggunakan corak ini pada aksesori seperti skarf, bangle, rantai, kaca mata dan tali pinggang. Kemudian jika anda merasakannya sesuai untuk anda, cuba gayakannya dengan beg ataupun kasut. Seterusnya barulah anda boleh mencubanya pada pakaian. Jangan pula pakai dari atas ke bawah. Sebaiknya padankan dengan padanan yang kosong. Tetapi jika tidak sesuai untuk anda ataupun anda tidak yakin untuk menggayakannya, jangan paksa diri. Jangan kenakannya pada pakaian anda. Anda masih boleh memakainya pada aksesori. Jadi anda masih tidak ketinggalan untuk mengkuti perkembangan fesyen semasa.
Dari segi fabrik atau jenis kain pula, fabrik yang lembut, ringan dan tidak panas dikatakan bakal menghiasi tahun 2012. Contoh jenis fabriknya ialah kain sifon yang lembut. Untuk dress pula mungkin masih menggunakan trend fesyen 2011 seperti one side dress. Tetapi kain yang digunakan ialah fabrik seperti yang saya nyatakan tadi. Sebenarnya perkembangan fesyen di Malaysia ini agak lambat berbanding di Negara barat. Fesyen yang dibawa masuk ke dalam Negara ini juga banyak diubah suai untuk disesuaikan dengan citarasa dan budaya tempatan.
Nasihat dari saya (bukan pakar), untuk mengikuti trend fesyen semasa, anda haruslah berani dan juga perlu berhati-hati. Tanya pendapat orang lain yang lebih tahu untuk mendapatkan gaya yang menarik. Jangan hanya mengikuti peredaran trend tanpa mengambil kira kesesuaian diri. Trend sebenarnya tidak boleh diikut sangat. Nantinya anda sendiri yang kelihatan “trying too much” dan pelik. Apa yang baik, kita ambil. Yang tak baik, tinggalkan sahaja. Anda tidak akan rugi apa-apa! Jangan jadi mangsa fesyen….
No comments:
Post a Comment
didiy fashion