My Buddies

Monday, December 31, 2012

INDAHNYA NATAL DI HATIKU



Selamat menyambut hari natal @ Christmas day kepada semua umat Kristian walau di pelusuk dunia mana pun ada berada. Sambutan natal menandakan satu kehidupan baru kepada kita Kristian tidak mengira dari gereja mana, kerana kita satu dalam nama Kristus. Sambutan natal kali ini saya rasa sangat teruja, Seawal bulan November, saya da siapkan pakaian untuk sambutan hari natal nanti. Yala, tak kisah lah sambut natal di kampung, tetapi berfesyen jangan diabaikan sama sekali.


Sambutan pertama saya adalah bersama dengan rakan-rakan di hotel. Grand lah sikit buat kat hotel kan. Nama pun GrandBorneo Hotel, di One Borneo, bersebelahan saja dengan UMS. Sebenarnya, sambutan kali pertama ini dianjurkan oleh pelajar-pelajar Kristian di UMS, yang terdiri daripada rakan-rakan saya sendiri (saya saja tak nak terlibat dengan penganjuran ini kerana terlalu sibuk dengan tugasan, mikroteching, midterm dan pembentangan).


Banyak perkara “menarik” sepanjang majlis Pesta Krismas UMS ini berlangsung. Pertamanya, saya dan rakan-rakan lain terlewat untuk bersiap sehinggakan tertinggal bas! Hahaha!! Jadi terpaksalah kami menaiki bas T.U.T saja untuk ke GrandBorneo Hotel. Da sampai kat sana, tak dapat masuk lagi kerana terpaksa menunggu seorang lagi kawan kami yang memang da tinggal kat OneBorneo, dia terlambat disebabkan lewat nak bersolek. Lebih setengah jam kami terpaksa menunggu dan akhirnya sama-sama masuk ke Ballroom. Sebaik melangkah masuk, kehangatan dan kemeriahan natal mulai terasa. Sehinggalah majlis selesai dalam suasana yang tenang, meriah dan INDAH!

Sambutan kedua ialah di kampung halaman saya, Kampung Tampakahu, Pitas Sabah (kalau anda cari dalam google pun susah nak cari tempat ni kerana sangat terpencil). Walau sambut dalam kesederhanaan dan mungkin juga serba kekurangan, natal tetap di sambut dengan penuh meriah. Agak lewat untuk balik ke kampung, saya sudah ketinggalan pelbagai acara yang dianjurkan oleh jawatankuasa gereja seperti caroling, sukaneka, pertandingan menyanyi, ayat hafalan dll, dan pertandingan bola sepak.

Pulang pada 23hb, gereja sedang dihias oleh beberapa orang kaum ibu dan belia kampung. Niat hati nak tolong tetapi keletihan dalam perjalanan membantutkan hasrat hati. Dan seperti biasa, kepulangan saya di kampung disambut dengan keriuhan anak-anak buah yang meminta itu ini. Sayu dalam hati apabila tidak dapat menyediakan hadiah dan pakaian Krismas untuk mereka tahun ini. Bajet tidak mencukupi!

Kami sambut Christmas Eve dengan majlis kesyukuran sempena hari lahir anak buah saya yang ke-4 tahun. Inilah masanya semua saudara mara berkumpul dalam suasana yang meriah setelah lama tidak berjumpa. Majlis kecil itu dipenuhi dengan gelak ketawa, usik-mengusik dan makan-makan. Tahun ini kami tidak beribadah di gereja untuk menyambut malam pra-natal.
Krismas datang juga akhirnya yang ditunggu-tunggu dalam setahun. Seawal pagi sudah bersiap dengan pakaian baru dan bersolek ringkas. Setelah itu sibuk menyiapkan anak-anak buah. Kakak pula sibuk di dapur untuk menyediakan menu makan bersama di gereja nanti. Pagi selasa yang indah itu sangat santai dan menenangkan hati. Setiba di gereja, ramai jemaat sudah tiba terlebih dahulu. Sementara menunggu jemaat yang lain, kami sempat mengambil gambar dan berlatih ringkas untuk kesaksian lagu nanti.

Sambutan krismas berjalan dengan penuh meriah. Setelah siap ibadah Krismas, tiba masa untuk penyampaian hadiah untuk semua acara yang dipertandingkan. Sebelum itu ialah pertandingan nyanyian bagi sekolah minggu tahap 2 (kanak-kanak 9-12 tahun). Seperti biasa, saya menjadi juri tidak rasmi untuk acara ini ( walaupun rasa diri sangat tidak layak). Untuk penyampaian hadiah saya sekali lagi jadi emcee hingga akhirnya walaupun tiada hadiah untuk saya. Setelah itu, acara bertukar-tukar hadiah dikendalikan oleh Puan Suzee. Saya menyediakan dua hadiah dan dapat 1 hadiah. Bila buka, rupanya saya dapat sebungkus Nescafe 3 in 1! Hahaha.. tidak mengapalah, asalkan si pemberi ikhlas dengan pemberian itu. Akhir sekali ialah jamuan makan atau makan bersama. Masing-masing keluarga akan membawa lauk pauk dan akan dikumpulkan dalam satu tempat untuk dimakan bersama.

Pulang dari gereja sekitar pukul 2 petang, kami sepakat untuk berkumpul di rumah kami, semua keluarga juga datang berkumpul untuk membuka hadiah masing-masing dan sekali lagi makan bersama. Suasana indah yang jarang-jarang dapat saya rasai apalagi bila berjauhan dengan keluarga di Kota Kinabalu ini. Suasana krismas bagi tahun 2012 berakhir dengan penuh keindahan. Saya tetap menanti krismas pada tahun 2013 dengan penuh debaran. Oh, hampir terlupa, kami adik-beradik memilih tema hijau pada tahun ini. Tahun  depan oren pula. Ok, see u on Christmas 2013!

Tuesday, December 18, 2012

What should I wear for Christmas??


Meraikan hari Krismas yang akan tiba, mari ceriakan wajah anda yang kusam itu dengan solekan ceria dan mempersona bak bintang di langit. Malah inilah ketikanya untuk anda merias wajah lain daripada biasa, seperti menggunakan gincu bibir merah menyala ataupun merias bahagian mata dengan pembayang mata berkilau disertai penggaris mata platinum atau dari rona emas. 

*saya syorkan anda  untuk mengoles colour sensational high shine gloss  dan eye studio master duo 2-in-1 glossy liquid liner dari maybelline.







Inilah masanya juga untuk anda bermain dengan bulu mata lebih lebat. Sama ada menggunakan mascara yang lebih tebal atau bulu mata palsu yang mampu memberikan kesan berbeza kepada penampilan anda.
*anda harus mencuba the colossal cat eyes-waterproof mascara dari Maybelline.




Untuk pembayang mata yang lebih berani, cuba rona yang colourful dan terang. Ianya dapat mewujudkan imej segar dan ceria sempena menyambut hari Krismas. 
* saya cadangkan simply 4 eye colours dari Simplysiti.


Tapi harus diingat, setiap solekan perlu dimulakan dengan pemilihan bedak asas yang serasi dengan warna kulit wajah. Petua paling ringkas dengan mendapatkan warna bedak asas yang lebih gelap daripada warna leher. Kemudian sapukan bedak lerai dan pemerah pipi agar penampilan solekan anda sentiasa tampak segar sesuai dengan mood perayaan yang meriah.
* Dream nude airfoam untuk kulit yang natural dari Maybelline.


Jadi, kalau sudah memiliki solekan yang menarik untuk bertandang ke pesta sambutan Krismas, jangan lupa pula persalinan sesuai. Pastikan andalah yang paling Stailista. Mungkin pemilihan salah satu warna daripada warna ikonik Krismas iaitu merah atau hijau boleh dijadikan panduan. Mungkin juga persalinan bling bling paling tepat bagi mereka yang lebih berani.














kredit to muraisimplysitizaloraMaybelline


Monday, December 17, 2012

Memperkasakan Pendidikan Luar Bandar (Outreach)


Pada 15 hingga 18 November 2012 yang lalu, saya bersama rombongan seramai lebih 90 orang pelajar gabungan DPLI dan prasiswazah sekolah Pendidikan dan Pembangunan Sosial, UMS telah mengikuti program outreach yang bertempat di Sk Tambisan, Lahad Datu Sabah. Perjalanan sejauh lebih 10 jam dari UMS ke sekolah tersebut tidak mematahkan semangat kami untuk menjayakan aktiviti ini. Sekolah tersebut berada di sebuah pulau iaitu Pulau Tambisan, dan memerlukan kami untuk menaiki bot untuk ke sana. Pengalaman yang benar-benar mencabar bagi warga pendidik.
Sepanjang tempoh itu, kami telah menjalankan pelbagai aktiviti mengikut modul pembelajaran untuk meningkatkan tahap motivasi dan minat pelajar terhadap pembelajaran. Selain itu, kami juga telah melakukan satu kajian berkenaan faktor aksesibiliti untuk Sk Tambisan. Dengan itu kami telah mengadakan pungutan data di kawasan perkampungan yang terdekat dengan kawasan sekolah.
Pengalaman indah sepanjang berada di sana tidak mampu kami lupakan. Segala kekurangan sekolah tersebut dianggap sebagai satu cabaran untuk menjadi seorang pendidik yang berdedikasi, berdaya saing dan mampu melaksakan tugas murni ini. Saya sahut panggilan suci ini!!


Saturday, December 15, 2012

Hikmah Menangis


Sebagai manusia, kita diajar untuk menerima keadaan semula jadi tanpa banyak soal. Kejadian alam contohnya siang, malam, panas dan hujan, umpama rentak kehidupan yang mengiringi hidup kita sepanjang hayat. Cuma apabila keadaan semula jadi itu berubah menjadi sesuatu yang disifatkan sebagai malapetaka seperti hujan kepada ribut taufan yang kemudiannya menyumbang kepada kemusnahan alam, orang mula mengkaji kejadian dan meramal sebarang kemungkinan pada kejadian semula jadi itu.

Ramai yang ingin tahu, mengapa perkara itu terjadi? Adakah ia boleh dielakkan? Selain kejadian alam, sifat manusia juga sering dianggap sebagai fitrah semula jadi seperti ketawa dan menangis. Kita jarang mempertikaikan bagaimana kita  boleh menangi dan ketawa begitu spontan sekali. Lazimnya kita memberi jawapan mudah iaitu ia sesuatu yang membabitkan sentuhan pada jiwa dan perasaan.


Sebenarnya, apabila kita menyedari hikmah di sebalik menangis dan ketawa, kita boleh lebih mengenali dan menganalisa diri serta mengawalnya. Tanpa disedari, walaupun sekadar menangis dan ketawa ada banyak proses yang berlaku untuk perkara itu berlaku. Kebiasaan budaya seluruh dunia menerima keadaan yang mana manusia bebas menangis dan ketawa di mana saja.

Tiada sesiapa yang memberitahu apabila seseorang itu menangis dan ketawa, tubuh melalui perubahan fizikal dan kimianya  yang tersendiri. Justeru, menangis dan ketawa amat perlu untuk kebaikan emosi dan fizikal. Ia menyempurnakan diri kita sebagai manusia normal. Proses menangis adalah rumit berbanding apa yang dibayangkan. Sebelum itu, kenal pasti tiga jenis air mata yang ada pada manusia:

·           Air mata basal yang berfungsi melembapkan mata
·     Air mata refleks yang terjadi apabila bertindak balas dengan sesuatu seperti habuk dan    memotong bawang
·       Air mata emosi yang berlaku apabila tubuh manusia bertindak balas dengan sesuatu yang menyentuh emosi

Ketiga-tiga tangisan mengandungi protein kimia dan hormon yang berbeza. Ahli sains mendapati tangisan yang berlaku kerana emosi mengandungi tahap mangan dan hormon prolaktin yang tinggi. Ini menyumbang kepada pengurangan kedua-duanya di dalam badan dan membantu melepaskan tekanan.

Ramai orang berasa menangis boleh melegakan perasaan sedih dan ini sebenarnya kerana kimia dan hormon yang dilepaskan bersama tangisan itu. Bagaimana kita boleh menangis? Sekiranya ia membabitkan emosi, maka ia perlu diaktifkan. Lazimnya, keaktifan itu berlaku daripada faktor luaran seperti kesakitan, kesedihan dan kehilangan. Apabila perasaan dilanda emosi, sistem saraf merangsang kranial di otak dan terus menghantar isyarat kepada penghantar saraf ke kelenjar air mata. Kelenjar air mata yang terbesar, kelenjar lacrimal menghasilkan air mata yang disebabkan sentuhan emosi dan refleks.


Ramai yang percaya dalam masa tertekan, badan bergantung kepada kelenjar ini untuk melepaskan jumlah kimia dan hormon berlebihan supaya kembali kepada keadaan stabil. Ramai juga berasa kaum wanita lebih sesuai menangis kerana faktor fizikal dan mereka insan yang lemah berbanding lelaki. Namun begitu, setelah mengetahui kebaikan daripada aktiviti menangis ini, elok juga lelaki digalakkan menangis.



Ada lima sebab untuk menangis:
1.         Menangis melegakan tekanan
2.         Menangis merendahkan tekanan darah berlarutan
3.        Air mata membuang toksin dari badan
4.  Tangisan mengurangkan tahap mangan di dalam badan, sejenis mineral yang boleh  menjejaskan mood.
5.    Menangis kerana anda manusia. Mata semua mamalia lembap oleh air mata, tetapi hanya manusia menitiskan air mata sebagai tindak balas kepada tekanan emosi



Saturday, November 24, 2012

FESYEN K-POP

Penghujung tahun lalu, media antarabangsa melaporkan situasi transisi dan trend fesyen yang sedang melanda kelompok generasi muda Myanmar terutamanya wanita di kawasan bandar. Seiring dengan perubahan fesyen semasa, pemerhati fesyen mendapati wanita urban tidak lagi gemar memakai pakaian kebangsaan mereka iaitu longyi. Sebaliknya, obses pada pemakaian skirt atau seluar pendek bersama baju-T potongan sendat.

Selain itu, wanita muda Myanmar dilihat berani memilih pakaian berasaskan warna terang dan kontra berbanding rona lembut dan gelap. Ini termasuklah, memiliki koleksi pakaian konsep funky, comel dan ceria.
“Trend fesyen ini tercetus daripada pengaruh muzik fesyen Korea atau K-Pop yang terkenal dengan imej seumpama itu. Penampilan artis Korea cukup menarik dan sarat dengan elemen segar serta mempesonakan,” jelas model remaja kelahiran Myanmar, Chan Chan yang turut menyatakan koleksi skirt mini, jaket, seluar pendek dan legging (sarung kaki ketat) antara item fesyen ala Korea yang semakin popular di Myanmar.



Namun, gelombang fesyen dan muzik K-Pop bukan saja melanda Myanmar malah pengaruhnya telah melanda Malaysia. Paling ketara, penjualan koleksi baju-T konsep funky dan legging pelbagai corak yang dijual secara meluas di beberapa gedung di sekitar Lembah Klang.
Sementara itu, perunding imej dan pereka fesyen Faizal Hamid, turut mengakui bahawa pengaruh muzik dan artis K-Pop, sedikit sebanyak memberi inspirasi fesyen kepada anak-anak muda tempatan terutamanya stail pemakaian dan potongan rambut.
“Era K-Pop kini cukup gah di persada antarabangsa dan dijangka bertahan lama selagi peminat menggilai dan memberi sokongan padu kepada idola mereka tidak kira solo atau artis berkumpulan. Pada pengamatan saya, trend meniru gaya artis tidak hanya berlaku dalam kalangan masyarakat tempatan malah turut dipraktikkan peminat muzik di Eropah dan termasuklah di Korea.

“Sebab itu, budaya remaja di Korea mereka begitu obses bergaya sama seperti selebriti pujaan. Ketaksuban meniru gaya artis pujaan kadangkala menyebabkan mereka sanggup membelanjakan sejumlah wang semata-mata penampilan mereka salin tak tumpah bak selebriti pilihan,” jelas Faizal yang turut memberitahu segelintir peminat fanatik sanggup menjalani pembedahan plastik agar raut wajah menyamai idola pujaan mereka.
Tambahnya, selain aksi, pakaian dan aksesori yang comel, pakaian warna kontra yang dipraktikkan oleh selebriti K-Pop turut menarik perhatian.

Buktinya, lihat saja pada penampilan grup Wonder Girls, 4 Minute, 5 Dolls, Kara, Sistar dan Orange Caramel. Keenam-enam kumpulan tersebut bukan saja memikat peminat dengan koleksi lagu dan persembahan pentas yang memukau malah sentiasa tampil bergaya dan stailo.

#Credit to kosmo online.

Tuesday, November 20, 2012

STYLE FESYEN DEEPAVALI



Selamat menyambut deepavali kepada semua orang yang berbangsa India walau di mana pun juga anda berada, terutamanya di Sabah. Rasanya belum terlambat lagi ucapan saya ini, kerana kita masih lagi dalam mood depavali.

Jika dulu tidak sah kiranya jika tidak memakai sari di pagi hari deepavali. Tapi kini fesyen moden turut mewarnai sambutan pesta cahaya ini. Antaranya ialah pakaian sut Punjabi atau dikenali sebagai anarkali atau Churidar dan pakaian ala Bolywood dan sari yang dimodenkan.


Bagi si gadis india penggemar fesyen, tidak salah mencuba pelbagai rekaan terbaru yang lebih moden dan santai untuk berkunjung ke majlis rumah terbuka. Pakaian untuk deepavali selalunya lebih kepada warna-warna terang, namun begitu warna romantik dan kontemporari juga sesuai digunakan.


Fesyen berunsurkan Kaum India ini juga sesuai digayakan oleh semua kaum sama ada untuk menghadiri majlis makan malam, berkunjung di rumah terbuka atau hanya untuk bersantai di hujung minggu.
Pelbagai gaya yang boleh dicuba:









 Antara aksesori yang boleh dipadankan dengan gaya di hari deepavali.

Friday, November 9, 2012

KEINDAHAN AIR TERJUN MAHUA, TAMBUNAN, SABAH


Jika sebelum ini anda mungkin pernah disogokkan dengan keindahan air terjun Niagara di Kanada atau air terjun Victoria di Zambia, tetapi negeri kita Sabah apa kurangya. Sabah kaya dengan keindahan semulajadi, dengan pantai dan pergunungan yang memukau. Keindahan air terjun di sabah juga sudah menjadi sebutan tidak kira pelancong tempatan mahupun pelancong luar negara.

Sejujurnya sebelum ini saya tidak pernah melihat di depan mata air terjun yang sebenar. Syukurlah peluang datang bergolek, kajian lapangan untuk kursus geografi fizikal kali ini memilih tempat Banjaran Crocker substesen Mahua, Tambunan sebagai lapangannya. Rombongan kami seramai lebih 80 orang termasuk pensyarah bertolak dari UMS ke kawasan kajian pada 31 oktober 2012. 


Memasuki kawasan Gunung Emas, hati saya mula teruja. Kesejukan dengan kabus tebal walaupun ketika itu jam 12 tengahari bagai menggamit perasaan kami lalu terus terpikat. Berhenti sebentar di Gunung Alab untuk makan tengahari, sebelum bertolak semula ke pekan Tambunan dan terus ke Bandar Keningau. 
Asrama Senagang


Malamnya kami bermalam di  Taman Banjaran Crocker substesen Kimanis, bertempat di asrama Senagang, bertemankan bunyian cengkerik malam dan pemandangan Bandar keningau jauh di bawah menemani malam-malam kami di sana.
Bergambar di Gunung Alab


Bergambar di bandar Keningau


Terjaga seawal pukul 4 pagi, dalam suasana dinginnya subuh, rombogan saya semuanya bersemangat untuk menerokai kawasan air terjun Mahua.


Bertolak ke Bandar Keningau sebelum ke bersarapan di pekan Tambunan lalu meneruskan perjalanan di Air Terjun Mahua. Dengan menaiki bas mini (van), kami tiba di kawasan air terjun sekitar pukul 11 setengah pagi.
Petunjuk dari simpang jalan.

Laluan masuk ke Air Terjun

Dari pondok pendaftaran, kami perlu berjalan kaki sejauh 500m untuk sampai ke Air Terjun. Mendengar bunyi percikan air terjun membuatkan hati saya makin tidak sabar untuk tiba. Perjalanan dalam hutan sangat menyenangkan hati dengan melihat panorama alam yang sangat indah, sungai yang jernih dan suasana yang nyaman, udara yang segar serta penuh keaslian. Turut kelihatan ialah bunga rafflesia dan juga kayu balak yang besar-besar dan keindahan semulajadi yang masih terpelihara. 
Bunga Rafflesia!!

Perjalanan ke air terjun


Kedatangan kami disambut dengan pemandangan yang sungguh cantik dan indah. Saya tergamam seketika, Ya Tuhan sungguh cantik ciptaanMU!




Pensyarah yang sporting!

Batu pelik!menyerupai kepala manusia

Hati terasa damai dan tenang, jauh dari tekanan di Bandar lantas terus jatuh hati pada tempat ini. Setelah bergambar seketika dan menikmati pemandangan dengan sepuas-puasnya, kami kembali ke pondok pendaftaran sekitar 2 setengah petang. Saya tertidur di dalam bas keletihan sepanjang perjalanan ke Bandar Keningau. 


Sempat melawat-lawat dan menjamu selera di pasar malam Keningau, kami kembali ke penginapan. Pada malamnya, acara BBQ di halaman penginapan kami. Dengan disinari lampu malam dan suasana dingin hingga ke tulang, tidak mematahkan semangat untuk berhibur setelah penat di siang hari.
Pesta BBQ..



Hari terakhir di Asrama Senagang meninggalkan perasaan sayu di hati. Kami kembali ke UMS, sekitar pukul 12.40 tengahari. Keindahan Taman Banjaran Crocker dan Air Terjun Mahua tetap terpahat dalam sanubari dan meninggalkan memori indah yang tak mungkin dilupakan.  Dalam hati kecil bertekad, AKU AKAN KEMBALI LAGI!!

Nota pelancong:
*Perjalanan dari Kota Kinabalu ke SubStesen Mahua Tambunan mengambil masa lebih kurang 2 jam setengah. Dari Tambunan ke Bandar Keningau mengambil masa sekitar 1.30-2 jam.
*Penginapan turut disediakan di kawasan substesen Mahua, Tambunan dengan kadar RM70/room dengan twin bed.
*Turut dilengkapi dengan pelbagai kemudahan seperti: surau, restoran, tandas awam, asrama penginapan dengan kadar rm400++ tiap satu, tempat seminar dan gazebo untuk BBQ dengan kadar sewa rm30.
*Sangat sesuai untuk aktiviti perkemahan, seminar, kursus, dan aktiviti riadah. Juga sesuai untuk acara private seperti majlis pertunangan, sambutan hari jadi, wedding photoshoot atau berbulan madu….
*Dinasihatkan untuk membawa/memakai pakaian yang tebal kerana faktor cuaca yang sangat sejuk, terutamanya pada waktu subuh atau hujan.
*Berkunjunglah ke sini, anda pasti tidak kecewa.
 Maklumat lanjut tentang air terjun Mahua ini boleh dilihat di sini dan sini