Selamat
menyambut hari natal @ Christmas day kepada semua umat Kristian walau di pelusuk
dunia mana pun ada berada. Sambutan natal menandakan satu kehidupan baru kepada
kita Kristian tidak mengira dari gereja mana, kerana kita satu dalam nama
Kristus. Sambutan natal kali ini saya rasa sangat teruja, Seawal bulan
November, saya da siapkan pakaian untuk sambutan hari natal nanti. Yala, tak
kisah lah sambut natal di kampung, tetapi berfesyen jangan diabaikan sama
sekali.
Sambutan
pertama saya adalah bersama dengan rakan-rakan di hotel. Grand lah sikit buat
kat hotel kan. Nama pun GrandBorneo Hotel, di One Borneo, bersebelahan saja
dengan UMS. Sebenarnya, sambutan kali pertama ini dianjurkan oleh
pelajar-pelajar Kristian di UMS, yang terdiri daripada rakan-rakan saya sendiri
(saya saja tak nak terlibat dengan penganjuran ini kerana terlalu sibuk dengan
tugasan, mikroteching, midterm dan pembentangan).
Banyak
perkara “menarik” sepanjang majlis Pesta Krismas UMS ini berlangsung. Pertamanya,
saya dan rakan-rakan lain terlewat untuk bersiap sehinggakan tertinggal bas! Hahaha!!
Jadi terpaksalah kami menaiki bas T.U.T saja untuk ke GrandBorneo Hotel. Da sampai
kat sana, tak dapat masuk lagi kerana terpaksa menunggu seorang lagi kawan kami
yang memang da tinggal kat OneBorneo, dia terlambat disebabkan lewat nak
bersolek. Lebih setengah jam kami terpaksa menunggu dan akhirnya sama-sama
masuk ke Ballroom. Sebaik melangkah masuk, kehangatan dan kemeriahan natal
mulai terasa. Sehinggalah majlis selesai dalam suasana yang tenang, meriah dan
INDAH!
Sambutan
kedua ialah di kampung halaman saya, Kampung Tampakahu, Pitas Sabah (kalau anda
cari dalam google pun susah nak cari tempat ni kerana sangat terpencil). Walau sambut
dalam kesederhanaan dan mungkin juga serba kekurangan, natal tetap di sambut
dengan penuh meriah. Agak lewat untuk balik ke kampung, saya sudah ketinggalan
pelbagai acara yang dianjurkan oleh jawatankuasa gereja seperti caroling, sukaneka,
pertandingan menyanyi, ayat hafalan dll, dan pertandingan bola sepak.
Pulang
pada 23hb, gereja sedang dihias oleh beberapa orang kaum ibu dan belia kampung.
Niat hati nak tolong tetapi keletihan dalam perjalanan membantutkan hasrat
hati. Dan seperti biasa, kepulangan saya di kampung disambut dengan keriuhan
anak-anak buah yang meminta itu ini. Sayu dalam hati apabila tidak dapat
menyediakan hadiah dan pakaian Krismas untuk mereka tahun ini. Bajet tidak
mencukupi!
Kami
sambut Christmas Eve dengan majlis kesyukuran sempena hari lahir anak buah saya
yang ke-4 tahun. Inilah masanya semua saudara mara berkumpul dalam suasana yang
meriah setelah lama tidak berjumpa. Majlis kecil itu dipenuhi dengan gelak
ketawa, usik-mengusik dan makan-makan. Tahun ini kami tidak beribadah di gereja
untuk menyambut malam pra-natal.
Krismas
datang juga akhirnya yang ditunggu-tunggu dalam setahun. Seawal pagi sudah
bersiap dengan pakaian baru dan bersolek ringkas. Setelah itu sibuk menyiapkan
anak-anak buah. Kakak pula sibuk di dapur untuk menyediakan menu makan bersama
di gereja nanti. Pagi selasa yang indah itu sangat santai dan menenangkan hati.
Setiba di gereja, ramai jemaat sudah tiba terlebih dahulu. Sementara menunggu
jemaat yang lain, kami sempat mengambil gambar dan berlatih ringkas untuk
kesaksian lagu nanti.
Sambutan
krismas berjalan dengan penuh meriah. Setelah siap ibadah Krismas, tiba masa
untuk penyampaian hadiah untuk semua acara yang dipertandingkan. Sebelum itu
ialah pertandingan nyanyian bagi sekolah minggu tahap 2 (kanak-kanak 9-12
tahun). Seperti biasa, saya menjadi juri tidak rasmi untuk acara ini ( walaupun
rasa diri sangat tidak layak). Untuk penyampaian hadiah saya sekali lagi jadi
emcee hingga akhirnya walaupun tiada hadiah untuk saya. Setelah itu, acara
bertukar-tukar hadiah dikendalikan oleh Puan Suzee. Saya menyediakan dua hadiah
dan dapat 1 hadiah. Bila buka, rupanya saya dapat sebungkus Nescafe 3 in 1! Hahaha..
tidak mengapalah, asalkan si pemberi ikhlas dengan pemberian itu. Akhir sekali
ialah jamuan makan atau makan bersama. Masing-masing keluarga akan membawa lauk
pauk dan akan dikumpulkan dalam satu tempat untuk dimakan bersama.
Pulang
dari gereja sekitar pukul 2 petang, kami sepakat untuk berkumpul di rumah kami,
semua keluarga juga datang berkumpul untuk membuka hadiah masing-masing dan
sekali lagi makan bersama. Suasana indah yang jarang-jarang dapat saya rasai
apalagi bila berjauhan dengan keluarga di Kota Kinabalu ini. Suasana krismas
bagi tahun 2012 berakhir dengan penuh keindahan. Saya tetap menanti krismas
pada tahun 2013 dengan penuh debaran. Oh, hampir terlupa, kami adik-beradik
memilih tema hijau pada tahun ini. Tahun depan oren pula. Ok, see u on Christmas 2013!
No comments:
Post a Comment
didiy fashion