Fesyen bagi gadis bertubuh kecil
\
Kalau si gempal berasa segan dan sukar untuk mencari pakaian,
begitu juga dengan si kecil molek. Namun, satu kelebihan bagi yang bertubuh
genit ialah baju yang besar masih boleh diubah suai menjadi kecil. Pelbagai alternatif
dalam berfesyen bagi golongan ini.
1)Sesuai pada tubuh badan
Pemilihan pakaian yang sesuai pada tubuh badan si gadis genit
amat penting agar tidak nampak canggung. Jangan pakai baju yang terlalu besar
kerana kamu hanya akan kelihatan pelik atau mungkin orang akan berkata baju
tersebut sebagai ‘baju pinjam’.
2)Garisan menegak
Pilihlah baju dengan garisan yang menegak.Tidak semestinya
kamu memakai pakaian yang bercorak belang menegak. Cukuplah sekadar mempunyai
potongan menegak yang menampakkan tubuh genit kamu menjadi sedikit tinggi.
Setidak-tidaknya ia dapat membantu bukan?
3)Berkolar V
Pilihlah top dan jaket yang berkolar V atau bentuk U. Bentuk
kolar baju seperti ini dapat memberi ilusi terhadap bentuk leher agar nampak
lebih jinjang.
4)Kasut tumit tinggi
Sila pakai kasut tumit tinggi! Ini merupakan jalan
penyelesaian yang paling ideal untuk menambah ketinggian. Jangan sesekali
memakai kasut pump atau kasut mendatar yang lain. Namun begitu, ianya terpulang
kepada keselesaan si pemakai. Elakkan juga pemakaian kasut silang yang terlalu
banyak tali kerana ia akan menampakkan kaki kamu lebih pendek.
5)Pemakaian aksesori
Elemen aksesori perlu dititik beratkan kerana aksesori mampu
mengubah penampilan seseorang dalam sekelip mata. Baju yang dipenuhi corak
sarat serta hiasan seperti labuci ataupun manik perlu dielakkan. Manakala
daripada segi beg pula, elakkan daripada menggunakan beg tangan yang besar
kalau tidak nanti kamu akan “ditenggelamkan” oleh beg kamu itu. Pilih beg yang
sederhana tapi masih sesuai dengan gaya anda.
6)‘Tidak’ pada skirt mini
Tolak keras-keras gaun pendek dan skirt mini! Walaupun ia
nampak menawan, namun ia sama sekali tidak sesuai bagi golongan petite. Kaki
kamu akan nampak lebih pendek dengan skirt mini yang tinggi daripada paras
lutut. Ianya juga menonjolkan tulang kaki yang kecil melidi. Apa kata gayakan
skirt panjang yang sedikit kembang dan padankan dengan kasut ala-ala mini boot.
Pasti menarik!
7)Seluar potongan lurus
Pakai seluar atau celana jean yang mempunyai potongan lurus
(straight cut) berbanding dengan skinny jeans. Untuk nampak sempurna, jangan
pakai seluar dengan poket yang banyak, lipatan serta mempunyai butang pada
hujung seluar. Daripada segi tali pinggang pula, pilih tali pinggang yang nipis
dan tidak lebar bentuknya.
Setiap wanita boleh tampil bergaya, cantik dan menarik asal
saja dia tau apa yang harus digayakannya. Begitu juga dengan wanita yang
bertubuh kecil, jangan jadikan alasan itu untuk menghalang anda bergaya dengan
trend masa kini. Anda haruslah bijak menyembunyikan kekurangan diri, bukannya
menunjukkannya dengan cara bergaya yang salah.